Pihak usahawantani.com mempelawa semua petani penternak , nelayan dan peniaga berkaitan tani untuk menggunakan perkhidmatan blog usahawantani.com. Anda boleh mengiklan produk anda dilaman ini secara percuma . Marilah sama-sama kita memajukan industri asas tani ini . Hantarkan skrip atau banner iklan anda ke iklan@usahawantani.com Kami akan siarkan iklan anda di blog ini. Anda juga digalakkan untuk mendaftar sebagai pengguna laman usahawantani.com . Sebagai pengguna berdaftar anda akan sentiasa mendapat maklumat terkini dari kami . Sekian . Pentadbir @ Pulau Tawar Jerantut Pahang

24 October 2009

Teknologi biotek untuk keli

Teknologi biotek untuk keli


Hifdzi Hamzah memberikan penerangan tentang penggunaan Bio-Aqua dalam ternakan ikan keli.


Teknologi penternakan ikan keli bukan sahaja mencakupi sistem infrastruktur atau kaedah menternak tetapi kini dipertingkatkan lagi dengan pengenalan beberapa produk sampingan.

Terbaru, kumpulan penyelidik, Perintis Agrotech Centre (PATC) memperkenalkan hasil penemuan terbaru mereka, Bio-Aqua iaitu formula khas untuk pembangunan industri ternakan dan pembenihan keli tempatan.

Bio-Aqua merupakan satu usaha menjadikan campuran mikrob baik dan zat mineral yang telah diuji kesesuaiannya dan terbukti keberkesanannya sebagai bahan asas dan komposisi utama produk tersebut.

Ia merupakan bahan penggalak sektor ternakan ikan paling efisien dan berjaya pada masa kini.

Tanpa campuran bahan kimia, Bio-Aqua akan 'bekerja' 24 jam sehari sepanjang tempoh ternakan ikan sekiranya digunakan mengikut panduan yang diberikan.

Bio-Aqua merupakan teknologi bio yang telah diperkenalkan di Jepun dan telah disesuaikan dengan struktur ternakan tempatan dari segi suhu, cuaca, struktur air, kelembapan tanah, tempoh ternakan ikan dan sebagainya.

Formula khas keli ini dicipta khas bagi membantu pengusaha benih dan pengusaha ternakan keli memandangkan margin keuntungan yang kecil dan memerlukan satu formula untuk mengurangkan kos operasi serta kos makanan.

Berdasarkan testimoni dan kajian yang dibuat, Bio-Aqua sangat sesuai untuk kedua-dua industri pembenihan ikan keli serta ternakan keli.

Objektif utama penghasilan Bio-Aqua adalah untuk penjimatan kos makanan dan mempercepatkan tempoh tuaian dari 60 hari ke 45 hari melalui aplikasi terus kepada pelet dan mampu memperbaiki struktur kolam ternakan melalui aplikasi terus kepada air.

Peningkatan kos makanan yang mendadak telah memberikan tekanan kepada pengusaha ikan air tawar termasuk keli.

Mengikut nisbah berat ikan berbanding berat makanan yang diperlukan sepanjang tempoh ternakan atau FCR (food convention rate), bagi menghasilkan satu kilogram (kg) ikan sebanyak dua kg pelet diperlukan (nisbah 1:2).

Bagaimanapun dengan menggunakan Bio-Aqua, terbukti berat makanan dapat dikurangkan kepada 0.8kg hingga 1.2kg.

Sekiranya kos pelet RM2 untuk sekilogram, ini bermakna kos makanan dapat dikurangkan RM1.60 hingga RM2.40 bagi setiap sekilogram ikan melalui aplikasi terus kepada pelet.

Penjimatan ini pasti melegakan pengusaha yang terpaksa berbelanja besar untuk kos makanan iaitu melebihi 60 peratus kos operasi.

Terdapat dua cara penggunaan Bio-Aqua yang paling efisien.

Pertama, dengan mencampurkan cecair ke dalam kolam ternakan pada kadar 1:1000 liter air.

Kaedah ini hanya sesuai untuk kolam ternakan yang bersaiz kecil seperti kolam kanvas, poly-tank, gentian kaca atau kolam simen bersaiz kecil.

Bio-Aqua akan berinteraksi terus dengan molekul dan struktur air di dalam kolam ternakan dan dalam masa yang singkat ia akan memecahkan molekul nitrat dan nitrit dan menukarkan kepada oksigen.

Kesannya, tindak balas tersebut akan mengurangkan kadar penghasilan ammonia dan bau busuk kepada kolam ternakan.

penyerapan protein

Kedua, dengan menyemburkan Bio-Aqua kepada pelet setengah jam sebelum diberikan kepada ikan.

Melalui kaedah ini, Bio-Aqua akan bertindak balas terus dengan struktur dalaman ikan dan akan meningkatkan kadar penyerapan protein pada pelet iaitu melebihi 24 peratus bagi starter, meningkatkan kadar penghadaman dan kelancaran usus ikan, meningkat antibodi dan selera makan ikan.

Kesannya, ia akan mempercepatkan tumbesaran ikan dan mengurangkan kadar kematian.

Secara tidak langsung, kos makanan ikan akan dapat dikurangkan lebih antara 30 dan 50 peratus.

Menurut ketua kumpulan penyelidik PATC, Hifdzi Hamzah, secara umumnya dengan menggunakan Bio-Aqua mengikut kaedah yang betul, pengusaha dapat menjimatkan bil air dan elektrik serta tenaga kerja kerana air tidak perlu kerap ditukar ganti.

Selain itu, penggunaannya dapat mengurangkan bau busuk pada air dan bau hanyir pada ikan, meningkatkan kualiti tekstur daging ikan dan warna isi, mengurangkan lemak berlebihan dengan penghasilan isi yang lebih pejal.

"Pada masa sama, ia, mengurangkan kadar kematian hasil peningkatan antibodi dan pengurangan stres pada ikan dan dapat menghasilkan ikan bermutu tinggi,'' katanya.

Bagi pengusaha benih keli, Bio-Aqua mampu mempercepatkan penghasilan air hijau yang amat diperlukan oleh rega dan anak ikan dan mampu mengelakkan kerongsong telur yang tidak menetas memasamkan air sewaktu awal proses penetasan.

Penghantaran Bio-Aqua akan dibuat terus ke alamat pembeli dengan menggunakan perkhidmatan KTM bagi yang membuat tempahan melalui telefon manakala bagi pembeli di sekitar Lembah Klang, mereka boleh terus ke pusat jualan di Business Suite B-17-G, The Medan Selayang, Batu Caves, Selangor.

Buat masa ini, PATC mampu menjual lebih 1,000 botol untuk produk Bio-Aqua sebulan dan dijangka permintaan akan terus meningkat berdasarkan trend kenaikan kos makanan yang semakin meningkat yang semakin menekan pengusaha keli.

Selain itu, PATC turut mengadakan sesi latihan kemahiran bagi mereka yang ingin menjadi pengusaha benih keli teknik aruhan.

Kursus yang terkini akan diadakan pada 1 dan 2 November ini di Institut Integriti Malaysia (IIM), Jalan Duta, Kuala Lumpur.

Bagi yang berminat mendapatkan produk Bio-Aqua atau mengikuti kursus latihan pembenihan keli aruhan boleh menghubungi terus ke talian 03-6187 3796.

UTUSAN

usahawantani.com

Read more...

16 October 2009

Kenapa pertanian Thailand berjaya?


Kegigihan petani Thailand mengusahakan dan memasarkan hasil tanaman mereka sememangnya diketahui ramai.


RAKYAT Malaysia kadangkala terlupa bahawa banyak produk pertanian yang dihasilkan anak tempatan sebenarnya berkualiti. Apa yang sering kali kedengaran ialah mereka teruja dengan produk pertanian dari negara jiran di sebelah utara iaitu Thailand.

Beras siam, mangga siam dan durian siam adalah antara produk pertanian keluaran negara itu yang kerap kali kita dengar.

Mengapa demikian? Adakah kerana produk pertanian kita seperti durian dengan baka D24 dan sebagainya serta benih padi MR219 sebagai contoh, belum begitu berdaya saing.

Ada beberapa persoalan yang timbul dan ini dijawab jelas oleh seorang usahawan pertanian yang juga Konsul Kehormat Diraja Thailand yang berpejabat di Langkawi, Datuk Shazryl Eskay Abdullah.

Pada pertemuan dengan Mega di Kuala Lumpur, baru-baru ini, beliau yang dilantik ke jawatan tersebut pada 2004 berkongsi beberapa persoalan untuk direnungi bersama.

Antaranya, kenapa buah dan sayur Thailand lebih baik dan kenapa sayur negara berkenaan mampu bersaing dalam pasaran eksport.

Persoalannya yang tidak kurang pentingnya ialah kenapa keluaran padi negara berkenaan cukup berkualiti dan mampu memnuhi keperluan eksport?

Persoalan-persoalan tersebut berada dalam lingkungan sektor agro makanan dan selanjutnya beliau membawa kepada persoalan lain iaitu kenapa kita mampu berada dalam kedudukan pertama dalam industri kayu getah.

Beliau yang berasal dari Kedah, menjelaskan terdapat beberapa perkara yang mendukung kejayaan Thailand dalam bidang pertanian.

Pertama, ia berkaitan dengan tenaga kerja yang mana mereka komited, tidak ortodoks dan menguasai teknologi baru.

''Kerajaan Thailand sentiasa meningkatkan pengetahuan dalam bidang teknologi pertanian serta asas tani kepada golongan petani mereka'' ujarnya.

Perkara kedua berkaitan dengan sistem atau pendekatan pertanian di negara berkenaan. Shazryl Eskay merujuk kepada sikap petani yang menganggap pertanian adalah satu industri.

Katanya, oleh kerana sumber tanah adalah terhad, petani mengeksploitasi setiap inci tanah pertanian dan setiap pokok yang mereka tanam.

''Di Malaysia, kita memberi tumpuan kepada pokok sehektar demi sehektar berbanding tumpuan kepada sepokok demi sepokok.

Setiap petani juga, katanya, diajar bahawa untuk berjaya dalam pertanian, amalan secara holistik adalah penting kerana kualiti dan kuantiti hasil pengeluaran bergantung kepada pokok yang sihat.

Pokok yang sihat pula bergantung kepada tanah yang subur, manakala tanah yang subur bergantung kepada kandungan atau sistem biodiversiti tanah seperti mikrob, cacing dan hidupan lain dalam tanah.

Pada masa sama, kerajaan negara berkenaan juga meningkatkan infrastruktur pertanian dengan menyediakan pusat pungutan dan pemprosesan hasil setiap daerah dan sistem silo (simpanan bijirin).

Faktor ketiga yang beliau kongsi ialah penggunaan benih yang bermutu.

Katanya, klon benih memainkan peranan penting kerana yang menentukan sama ada kualitinya baik seperti tahan lama, saiz sesuai, manis dan cantik.

Keseragaman klon juga penting dalam industri buah khususnya untuk pengetinan, selain kualiti tahan penyakit.

Faktor keempat yang tidak kurang pentingnya ialah baja.

Menurut beliau, baja yang baik mengandungi nutrien yang lengkap untuk keperluan tanaman dan tidak memudaratkan tanah serta mikroorganisme.

''(Kebanyakan) baja yang berada di pasaran kini tertumpu kepada keperluan tanaman sahaja," katanya.

Beliau mempersoalkan kenapakah pokok yang yang telah diberi baja masih mengalami masalah seperti penyakit, tidak mengeluarkan getah dan buah tidak berkualiti,

Apa yang berlaku dakwanya ialah masalah 'defiseinsi nutrin' kerana pokok tidak mendapat kuantiti dan baja yang diperlukan.

''Pokok perlu 16 jenis nutrien tapi yang dapat hanya baja N.P.K. sahaja sedangkan (nutrien) yang lain diabaikan," katanya.

Katanya, negara berkenaan memanfaatkan baja untuk melakukan transformasi industri pertanian dan nama baja yang digunakan ialah Silicon 23 iaitu sejenis baja mineral dan natural dari negara berkenaan.

Faktor kelima ialah sistem pemasarannya yang mana ia melibatkan syarikat penerbangan Thai Airways, amalan menggunakan koperasi pengangkutan dan pembungkusan yang berkualiti.

Oleh itu, katanya, faktor-faktor tersebut wajar diberi perhatian sekiranya industri pertanian negara hendak ditransformasikan bersungguh-sungguh.

Beliau bagaimanapun berkata, sektor pertanian tempatan telah memperkenalkan banyak klon benih dan baka untuk meningkatkan kualitinya.

Bagaimanapun, tanaman tersebut perlu nutrien yang lengkap dan berkesan untuk mencapai sasaran pengeluarannya.

Shazryl Eskay menjelaskan, pembajaan penting kerana ia mampu menggantikan nutrien dan melengkapkan apa yang kurang

Katanya, kadangkala berlaku kes yang mana tanaman masih bermasalah meskipun telah diberi baja.

Kelapa sawit sebagai contoh merupakan jenis monoecious yang mampu menghasilkan bunga betina atau jantan.

"Waktu pembentukan jantina adalah sangat penting bagi tanaman itu dan sekiranya berlaku stres, penghasilan bunga betina terbantut," katanya.

Katanya, keadaan itu akan menyebabkan pembentukan bunga jantan yang antara lain disebabkan tidak mendapat nutrien yang cukup dan lengkap.

Tanaman yang tidak mendapat nutrien yang cukup dan lengkap mengalami masalah kekurangan zat. Ia disebabkan oleh dua faktor iaitu apabila tanaman tidak mendapat kuantiti nutrien yang diperlukan dan tanaman tidak mendapat jenis nutrien yang diperlukan.

Kuantiti nutrien pula bergantung kepada jenis tanah sama ada berpasir tanah liat atau berasid.

Jika berpasir, baja akan hilang melalu proses larut resap dan jika tanah liat , baja akan hilang menerusi proses pemeruwapan dan hilang apabila dalam proses larian permukaan semasa hujan.

Pembajaan di tanah berasid pula akan menyebabkan fosfat terikat dan tidak dapat digunakan oleh tanaman.

Justeru, waktu menabur baja penting bagi mengelakkan masalah tersebut.

Bagi jenis nutrien pula, beliau menjelaskan. tanaman memerlukan 16 jenis nutrien untuk proses tumbesaran dan pengeluaran yang baik.

Nutrien yang sentiasa digantikan melalui proses pembajaan adalah NPK dan magnesium sahaja.

UTUSAN

usahawantani.com

Read more...

Ternak ikan air tawar atasi masalah kepupusan

NEGERI Perak sememangnya cukup terkenal dengan pelbagai jenis ikan air tawar. Bagi ramai penggemarnya, ikan yang didapati dari sungai, tasik dan bekas lombong di negeri ini mempunyai kelainan daripada segi rasa jika dibandingkan ikan air tawar di tempat lain.

Ikan air tawar seperti kelah, temoleh, baung, kelabau, tengas, loma, tengalan, sebarau dan lampam sungai merupakan sebahagian daripada spesies yang sentiasa mendapat permintaan tinggi.

Untuk mendapatkan bekalan ikan air tawar tidaklah sesukar mana memandangkan ia banyak dijual di pasar-pasar serata negeri terutama di Hulu Perak iaitu pengeluar utama ikan pekasam.

Begitu juga dengan udang galah yang mendiami lubuk-lubuk di beberapa sungai seperti Sungai Perak, Sungai Kinta dan Sungai Kampung Dew di Kamunting, Taiping, Perak.

Keenakan ikan air tawar serta udang galah sungai ini menyebabkan permintaannya semakin meningkat walaupun sumbernya semakin berkurangan.

Permintaan yang tinggi terhadap ikan air tawar turut mendorong peningkatan harga sehinggakan boleh mencecah ratusan ringgit bagi setiap kilogram.

Namun sejak kebelakangan ini, ikan air tawar mulai diancam kepupusan malahan ada di antara jenis ikan berkenaan hanya boleh diperoleh di kawasan tertentu, itupun dengan bilangan yang sangat sedikit.

Berdasarkan kajian yang dijalankan penyelidik beberapa universiti tempatan, kini terdapat kurang daripada separuh jumlah ikan air tawar di semua sungai, tasik dan bekas lombong di Perak berbanding lima tahun dulu.

Hasil kajian berkenaan turut mendapati hanya beberapa kawasan di negeri ini yang masih menyimpan spesies seperti tengas, loma, tengalan dan sebarau.

Faktor pencemaran, pembuangan sisa toksik, penyeludupan dan penggunaan bahan kimia serta bom ikan dilihat antara punca pengurangan ikan air tawar.

Penurunan ketara populasi ikan jenis ini diakui sendiri beberapa orang nelayan. Masing-masing mendakwa usaha mereka kebelakangan ini langsung tidak memberi pulangan setimpal.

Abdul Razali Hashim, 42, berkata nelayan kini amat sukar untuk mendapat ikan air tawar seperti sebarau, kelah dan jelawat.

Jarang sekali nelayan sepertinya dapat menangkap ikan yang beratnya melebihi dua kilogram kerana ikan berkenaan semakin berkurangan.

''Biasanya saya mendapat ikan sebarau, kelah dan jelawat yang beratnya dalam dua kilogram sahaja.

''Dulu, mengail seharian sangat memuaskan tetapi sejak beberapa tahun kebelakangan ini, ikan yang diperoleh hanya cukup makan sahaja," katanya.

Seorang lagi nelayan, Zainuddin Abu, 45, berkata kebanyakan nelayan di Tasik Temenggor, Gerik, kini terpaksa mendapatkan pekerjaan lain kerana ikan yang ditangkap tidak lagi mendatangkan pulangan lumayan.

Pihak berkuasa khususnya Jabatan Perikanan perlu memainkan peranan dalam mengelakkan ancaman kepupusan ikan air tawar namun bagi Zainuddin, sikap tamak manusia turut menjadi punca.

''Sejak dulu saya sekali pun tidak pernah mengambil anak-anak ikan atau ikan bersaiz kecil dari tasik. Namun saya percaya tidak ramai yang sanggup melepaskan semula tangkapan mereka itu.

"Apa yang saya tahu, konsep tangkap dan lepas ikan-ikan air tawar yang kecil atau masih anak tidak dipraktikkan. Atas sebab itulah anak-anak ikan terancam dan tidak sempat membesar," katanya.

Bagi Abdullah Arbaini, 45, beliau terpaksa memastikan bekalan ikan tawar untuk restoran ikan bakarnya di Ipoh sentiasa mencukupi namun mengakui sejak setahun lalu, ia bukanlah satu tugas yang mudah.

''Sebagai sebuah restoran yang menghidangkan ikan bakar, saya perlu pastikan bekalan ikan seperti tilapia dan sebagainya mencukupi.

Pengarah Perikanan Perak, Sani Mohd Isa, ketika ditanya tentang isu ini mengakui kepupusan pelbagai spesies ikan air tawar di negeri ini memerlukan perhatian serius semua pihak sama ada kerajaan mahu pun orang awam.

"Pengurangan spesies ikan air tawar berpunca daripada pelbagai faktor tetapi kita tidak harus lupa permintaan yang tinggi terhadap hidupan itu turut mendorong pengurangan mendadak jumlahnya ketika ini.

"Kita juga bimbang jika ada spesies ikan yang pupus sebelum pihak berwajib berjaya menyelamatkannya," katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Biarpun belum dianggap kritikal namun usaha berterusan mengatasi kepupusan ikan air tawar di Perak sedang dilaksanakan.

Selain mewartakan beberapa peraturan menangkap ikan di kawasan tertentu, Jabatan Perikanan Perak secara aktif menggiatkan usaha membangunkan baka induk dan mengeluarkan benih ikan air tawar melalui Pusat Perikanan Darat (PPD) di Banding.

PPD Banding yang dibina pada 1997 itu kini menjadi sebahagian daripada inisiatif dan komitmen berterusan kerajaan dalam menyelesaikan masalah ini.

"Banding dipilih kerana ia cukup istimewa. Tasik Temenggor yang mengelilingi kawasan ini kaya dengan lebih 30 spesies ikan air tawar yang sudah tidak ditemui di tempat lain di negara ini.

"Ia kini menjadi pusat membangunkan baka induk dan mengeluarkan benih pelbagai spesies ikan air tawar seperti kelah, temoleh, baung, tengas, loma, tengalan, sebarau dan lampam sungai," kata Sani.

PPD Banding yang beroperasi sepenuhnya pada 1 Nov 2006 juga berperanan sebagai pusat pengembangan yang memberi khidmat nasihat teknikal, pusat sumber maklumat dan rujukan.

Ia juga menggiatkan usaha memindahkan teknologi dalam pembenihan ikan selaras dengan pembangunan industri akuakultur negara.

Menurut Sani, proses pembenihan ikan di pusat ini dijalankan secara saintifik menerusi pembiakan aruhan iaitu proses yang melibatkan induk ikan yang belum matang sepenuhnya akan disuntik dengan hormon tertentu.

Jelas beliau, kaedah pembiakan aruhan biasanya digunakan untuk membiakkan ikan-ikan yang tidak dapat membiak di dalam sangkar.

"Ia bertujuan mempercepat proses kematangan dan ovulasi telur, meninggikan kemandirian (kadar hidup) anak-anak ikan, meningkat dan mempercepat pengeluaran benih ikan secara besar-besaran atau komersial serta memperoleh baka ikan berkualiti tinggi," jelasnya.

Melalui teknik ini, Sani berkeyakinan kepupusan spesies ikan air tawar yang dihadapi ketika ini mampu dikawal bahkan beliau percaya, PPD Banding akan menjadi pemangkin pengeluaran ikan-ikan air tawar dalam beberapa tahun akan datang.

Apa pun, komitmen Jabatan Perikanan Perak diteruskan dengan pelaksanaan Pelan Pengurusan Tasik Temenggor yang bertindak memulihara sumber perikanan selain mengelak kepupusan ikan air tawar di tasik itu.

''Tasik Temenggor yang berkeluasan 152 kilometer persegi mempunyai keistimewaan tersendiri kerana beberapa spesies ikan air tawar yang terdapat di tasik ini sudah tidak ditemui di tempat lain.

"Melihat kepada kelebihan tasik ini, maka Jabatan Perikanan mewujudkan Pelan Pengurusan Tasik Temenggor kerana khuatir aktiviti penangkapan ikan menggunakan jaring dan pancing sekiranya tidak dikawal akan mengancam spesies ikan air tawar di sini," katanya.

Di bawah pelan ini, Jabatan Perikanan telah memperkenal Zon Pemuliharaan, Zon Perikanan Rekreasi dan Zon Komersil.

Kata Sani, pihaknya sudah mula mengguna pakai Zon Pemuliharaan merangkumi bahagian utara Tasik Temenggor meliputi kawasan seperti Sungai Kejar, Sungai Tiang dan Sungai Gadong.

Pihak swasta turut memainkan peranan dalam memulihara spesies yang semakin pupus bahkan ada yang sanggup membuat pelaburan berskala besar semata-mata untuk memastikan ekosistem ikan air tawar Perak terus terpelihara.

Turut membantu usaha pemuliharaan ikan air tawar ialah konglomerat pembinaan dan hartanah terkemuka, MK Land Berhad yang sejak dua tahun lalu telah mewujudkan kawasan perlindungan bagi ikan itu.

Ini berkonsepkan penglibatan penduduk setempat, merangkumi masyarakat Orang Asli, yang akan mengawasi keseluruhan kawasan yang dikenal pasti itu.

"Dengan pertambahan jumlah spesies ikan air tawar yang kini semakin merosot populasinya, ia secara tidak langsung akan memberikan pulangan lumayan kepada penduduk setempat kerana harga pasaran ikan air tawar yang tinggi," kata pengerusi MK Land Berhad Tan Sri Mustapha Kamal Abu Bakar pada majlis pelancaran projek berkenaan baru-baru ini.

Di samping itu, usaha mengkomersialkan spesies ikan air tawar khususnya tilapia seperti yang dilakukan sebuah syarikat usahasama Malaysia-Norway, Trapia Malaysia Sdn Bhd di Tasik Banding, wajar dijadikan contoh kerana usaha itu secara langsung meningkatkan kapasiti pembiakan ikan berkenaan.

Satu keadaan agak ironi ialah walaupun menghadapi ancaman kepupusan, Perak ialah pengeluar utama negara dalam sektor akuakultur terutama ternakan ikan dalam sangkar bagi tilapia hitam dan merah, patin dan keli.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Rohani Abdul Karim baru-baru ini berkata, Jabatan Perikanan mensasarkan pengeluaran hasil akuakultur negara sebanyak 507,558 tan metrik menjelang tahun 2010 dan daripada jumlah itu, sebanyak 137,400 tan metrik pengeluaran dari Perak.

Kawasan ternakan perairan Tasik Temengor sahaja dijangka akan menghasilkan pengeluaran sebanyak 40,000 tan metrik setahun daripada aktiviti ternakan ikan dalam sangkar menjelang 2013, katanya. -- Bernama



usahawantani.com

Read more...

11 October 2009

Pembekal makanan laut Malaysia raih jualan RM16.6j

DUBAI 9 Nov. - Enam syarikat Malaysia yang mengambil bahagian pada Ekspo Makanan Laut Dubai 2009 di sini baru-baru ini, berjaya mencatatkan jualan yang disahkan dan potensi jualan yang dianggarkan berjumlah AS$4.9 juta (RM16.6 juta).

Menurut Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), perkembangan ini akan membantu meningkatkan lagi usaha untuk menembusi pasaran Timur Tengah.

"Berdasarkan kepada hasil ekspo berkenaan, saya rasa Timur Tengah termasuk negara-negara Majlis Kerjasama Teluk (GCC), mempunyai potensi yang besar untuk produk makanan laut dari Malaysia," kata Ketua Pengarah LKIM Datuk Mustafa Ahmad kepada Bernama.

Mustafa mengetuai delegasi yang terdiri daripada wakil dari Persatuan Nelayan Kebangsaan Malaysia, Ambang Wibawa Sdn. Bhd., Seiko Marine Products Sdn. Bhd., Ocean Pac Sdn. Bhd., Golden Fresh Sdn. Bhd. dan Butterworth Iceworks Sdn. Bhd.

Menurut beliau, bakal pembeli dan peniaga dari Timur Tengah akan dijemput mengambil bahagian pada pameran makanan laut di Malaysia tahun depan.

"Kita akan mengatur lawatan ke kilang pemprosesan makanan laut kita bagi membolehkan mereka melihat dengan lebih dekat proses pengeluaran kita dengan harapan ini akan menghasilkan lebih banyak urus niaga perniagaan," katanya.

Mustafa menasihat pengeluar makanan laut Malaysia supaya menunjukkan komitmen sepenuhnya kepada kualiti dalam usaha mereka untuk melebarkan sayap ke luar negara.

"Mereka perlu berusaha untuk memenuhi piawaian Kesatuan Eropah dan piawaian antarabangsa yang lain untuk terus berkembang di luar negara," katanya.

Semasa menyokong kenyataan Mustafa itu, konsul pertanian Malaysia di Dubai, Abdul Razak Ahmad berkata, pembekal makanan laut Malaysia perlu mengambil kesempatan terhadap permintaan yang tinggi untuk produk makanan laut di Timur Tengah.

"Mereka perlu melihat rantau ini selain sasaran biasa seperti Jepun, Amerika Syarikat dan yang lainnya," kata beliau. — Bernama

UTUSAN



usahawantani.com

Read more...

Namakan 'Jerantut Bandar Ikan Kelah'

JERANTUT 9 Nov. - Jika bandar Temerloh sudah dikenali sebagai 'Temerloh Bandar Ikan Patin,' maka bandar Jerantut di sebelah hulunya pula boleh dinamakan 'Jerantut Bandar Ikan Kelah' kerana spesies ikan kelah banyak terdapat di daerah ini khususnya di Sungai Tembeling.

Sebenarnya ramai yang tidak tahu bahawa keenakan ikan kelah setanding dengan ikan jelawat yang begitu dibanggakan sebelum ini.

Selain itu masakan ikan Sungai Tembeling perlu dijadikan ikon untuk menarik lebih ramai pelancong berkunjung ke daerah ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tahan, Datuk Wan Amizan Wan Abdul Razak berkata, ini kerana masakan tradisional berasaskan ikan air tawar diakui mempunyai keunikan dan lazat jika dijadikan sajian tengah hari dan malam, berbuka puasa, hidangan di hotel serta majlis-majlis keramaian.

Sehubungan itu, beliau meminta peniaga dan pengusaha hotel proaktif memperkenalkan makanan tradisional itu kepada pelancong yang singgah di bandar Jerantut sebelum ke Taman Negara, Kuala Tahan dekat sini.

''Saya berharap pengusaha restoran di bandar ini menjual pelbagai jenis makanan tradisional tempatan berasaskan ikan air tawar, sayur-sayuran dan ulam-ulaman untuk sajian pelancong," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Wan Amizan menegaskan, masakan ikan Sungai Tembeling dianggap lebih lazat berbanding masakan ikan laut yang biasa ditemui di tempat lain.

Seorang penduduk bandar Jerantut, Mohammad Razman Sidik, 32, berkata, biasanya beliau memilih restoran yang menjual masakan asam tempoyak ikan sungai untuk dibawa pulang.

''Masakan ikan sungai ini cukup menyelerakan apatah lagi ketika dihidangkan untuk sanak saudara dari luar yang bertandang ke rumah pada hujung minggu," katanya.

Menurut Razman, masakan ikan sungai di Jerantut kini semakin mahal kerana permintaan tinggi termasuk di kalangan pelancong Barat yang semakin 'berselera' menikmati masakan berkenaan.

Seorang penduduk Paya Garok, Baba Ibrahim, 56, berkata, daerah Jerantut memang sesuai dijadikan 'Bandar Ikan Kelah' kerana spesies berkenaan banyak didapati di Hulu Tembeling dan masakannya amat lazat walaupun mahal.

''Harga ikan kelah dan patin yang terlalu tinggi tidak mampu dibeli oleh sesetengah pengunjung restoran dan pasar di bandar ini," katanya.

Baba menambah, promosi makanan ikan air tawar tradisional itu perlu diperhebatkan lagi supaya lebih ramai pelancong Barat singgah di bandar ini dan Taman Negara, Kuala Tahan.

UTUSAN

usahawantani.com

Read more...

Daftar Ahli Usahawantani

Followers

IKLAN 1

Ruang iklan untuk disewa

IKLAN 2

Ruang Iklan untuk disewa
PELUANG KERJASAMA

Pihak Portal Usahawantani.com dan Akademi Usahawantani sedang dalam proses menyemak dan menilai kembali kursus-kursus UsahawanTani yang dianjurkan oleh pihak kami . Kami menjemput semua pengusaha-pengusaha yang berpengalaman ATAU baru dalam mengendalikan kursus-kursus usahawantani untuk berkerjasama atau menjadi panel kami . Sila hantarkan proposal anda kepada Pengurus Akademi UsahawanTani di email akademi@usahawantani.com . Maklumat yang mesti ada dalam proposal anda ialah :
1. Nama Anda / Syarikat
2. Alamat
3. Bidang UsahaTani
4. Kandungan Kursus
5. Bilangan Hari
6. Kos Kursus
7. Lokasi Kursus
8. Pengalaman
9. Cadangan kaedah kerjasama (option)


Daftar Ahli Usahawantani

Borang Pendaftaran

Nama
Email
No Handphone (e.g 019-1234567)
Lokasi (e.g Bandar/Negeri)
Image Verification
captcha
Please enter the text from the image:
[ Refresh Image ]


Nota : Selepas menekan butang 'Daftar' sila lihat email anda untuk kepastian bahawa pendaftaran anda telah diterima oleh pihak kami.

  © Blogger templates The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP