Pihak usahawantani.com mempelawa semua petani penternak , nelayan dan peniaga berkaitan tani untuk menggunakan perkhidmatan blog usahawantani.com. Anda boleh mengiklan produk anda dilaman ini secara percuma . Marilah sama-sama kita memajukan industri asas tani ini . Hantarkan skrip atau banner iklan anda ke iklan@usahawantani.com Kami akan siarkan iklan anda di blog ini. Anda juga digalakkan untuk mendaftar sebagai pengguna laman usahawantani.com . Sebagai pengguna berdaftar anda akan sentiasa mendapat maklumat terkini dari kami . Sekian . Pentadbir @ Pulau Tawar Jerantut Pahang

29 July 2008

Tanaman vitato PDRK II mula dituai



BACHOK 28 Julai - Sebanyak 10 peserta Projek Diraja Kelantan II (PDRK II) Kampung Nenasi di sini berjaya keluar daripada lingkaran kemiskinan apabila tanaman ubi keledek vitato yang diusahakan mereka sejak April lalu kini boleh dituai.
Tanaman yang diusahakan di kawasan seluas 2.5 hektar itu dan diselang-seli dengan tanaman cili, roselle, tembikai dan jagung kini sudah matang serta boleh dijual dengan menghasilkan pendapatan purata RM2,000 sebulan.
Tanaman tersebut mula dituai Jumaat lalu dan hari ini, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) negeri mula membeli hasil mereka sebanyak empat tan metrik.
Timbalan Pengarah FAMA negeri, Fauzi Mohamed, hasil tanaman perintis ini pada musim pertama dijangka memberikan pendapatan kira-kira RM8,000 hingga RM10,000 seorang.
''Secara keseluruhan, tanaman yang diusahakan dengan kos RM17,000 ini mampu mengeluarkan hasil 12 tan metrik bagi 0.4 hektar.
''Dianggarkan satu perdu pokok mengeluarkan hasil satu kilogram dengan purata harga sekilogram 70 sen,'' katanya kepada pemberita selepas melawat kawasan tanaman ubi keledek vitato di sini hari ini.
Menurutnya, projek ini dijalankan di kalangan peserta Program Penempatan Masyarakat Setempat (PPMS) yang sebelum ini terdiri daripada 50 golongan miskin tegar.
Beliau berkata, daripada jumlah itu, 10 daripada mereka dilibatkan dalam aktiviti pembangunan berasaskan pertanian.
''Sepuluh peserta lagi terlibat dalam tanaman cendawan tiram dan selebihnya dalam bidang bengkel kereta, jahitan dan makanan kering," katanya.
Beliau menambah, FAMA memasarkan ubi keledek vitato kepada pelbagai pihak yang diproses untuk dijadikan jus, makanan sejuk beku selain dieksport ke Singapura.
Salah seorang peserta, Mohd. Ismail Mohamed,46, dan isteri Norizan Yaakub, 41, mengakui sejak menyertai projek tersebut kehidupan mereka semakin baik dengan pendapatan semakin meningkat.
''Sebelum ini, pendapatan lebih kurang RM300 sebulan tetapi melalui tunjuk ajar Jabatan Pertanian, pendapatan kami mencecah RM1,000 sebulan," kata bapa kepada tujuh anak itu.

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0729&pub=Utusan_Malaysia&sec=Timur&pg=wt_04.htm



usahawantani.com

Read more...

25 July 2008

Sarang burung sumber ekonomi baru


HARGA sarang burung yang siap diproses kini boleh mencecah RM15,000 hingga RM25,000 sekilogram di China. Perkembangan terbaru itu semestinya mendorong penternak burung layang-layang di Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) untuk melihat sumber pendapatan yang lebih tinggi memandangkan lebih banyak pusat penternakan kini dibuka di wilayah itu.
Kelantan merupakan pusat penternakan burung layang-layang kedua terbesar di negara ini selepas Perak yang menghasilkan sarang burung bernilai tinggi serta menjadi idaman ramai iaitu hidangan yang mahal dihasilkan daripada ekstrak air liur burung layang-layang.
Sehingga Jun 2004, terdapat 300 sarang burung layang-layang di negeri itu terutama di Kota Bahru, Tumpat dan Rantau Panjang.
Kawasan lain termasuk dalam kawasan ECER adalah di Pasir Mas di Kelantan; Kampong Air Papan di Mersing; Kuala Besut, Kuala Terengganu; Tok Soboh, Kampung Pinang di Terengganu; dan juga Rompin serta Pekan di Pahang.
Malaysia kini merupakan pengeluar sarang burung yang boleh dimakan dengan nilai pembekalan kasar sebanyak tujuh peratus, selepas Indonesia (60 peratus) dan Thailand (20 peratus).
Sehingga akhir tahun 2006, terdapat hampir 36,000 burung layang-layang di seluruh negara dengan purata kadar pertumbuhan sebanyak 35 peratus setahun sepanjang tempoh lima tahun lepas.
Jumlah nilai pengambilan keseluruhan sarang burung yang boleh dimakan di seluruh dunia pada tahun 2006 dianggarkan RM8 bilion hingga RM12 bilion.
Hong Kong merupakan negara pembeli sarang burung terbesar iaitu sebanyak 50 peratus manakala China (lapan peratus), Taiwan (empat peratus) dan Macau (tiga peratus) dengan jumlah pengambilan kira-kira 160 tan pada tahun 2006.
Sekilogram sarang burung berwarna putih yang boleh dimakan belum diproses dijual pada harga RM4,500 hingga RM6,000 pada tahun 2006. Harganya berganda lebih tinggi di China dan Hong Kong.
Lonjakan
Industri penternakan burung layang-layang di Malaysia telah menyaksikan lantunan serta lonjakan pertumbuhan untuk tempoh lapan tahun sebelum ini.
Ladang-ladang ternak kebanyakannya dibina di bandar-bandar kecil di mana sumber makanan melimpah dan tahap pencemaran masih rendah.
Kerajaan Perak misalnya, menawarkan 10 kawasan berpotensi untuk peladangan burung layang-layang, manakala Johor mencadangkan sebuah taman eko burung layang-layang di Endau dan Desaru.
Kerajaan Negeri Sembilan juga menunjukkan minat yang sama untuk membina sebuah taman eko bagi tujuan tersebut.
Bank Pertanian Malaysia atau kini dikenali sebagai AgroBank menawarkan pembiayaan sehingga 85 peratus berikutan perusahaan sarang burung kini menjadi sebahagian daripada industri berasaskan tani.
Suruhanjaya Koperasi Malaysia pula telah mengiktiraf enam buah syarikat pengusahaan sarang burung bagi menjalankan usahasama perniagaan dengan gerakan koperasi di seluruh Malaysia di bawah program pemadanan perniagaan (business matching).
Namun begitu, perunding dan pakar reka bentuk rumah burung layang-layang, Abdul Aziz Mohd. Rejab dari GEM Sdn. Bhd., memaklumkan buat masa ini hanya 20 peratus daripada keperluan dunia dapat dipenuhi.
Bagi memenuhi keperluan pasaran, GEM Sdn. Bhd. bekerjasama dengan beberapa kementerian dan agensi kerajaan termasuk Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MeCD), Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Jabatan Perkhidmatan Haiwan (JPH), Gagasan Badan Ekonomi Melayu (Gabem) dan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) menganjurkan seminar dan kursus kepada para usahawan yang berminat.
Lumayan
Penternak burung layang-layang mendapat pendapatan lumayan dengan menjual sarang burung yang boleh dimakan, menguruskan ladang-ladang ternakan burung layang-layang dengan berjaya atau menyediakan khidmat perundingan mengenai penternakan burung layang-layang.
Pengarah Urusan Nespure Birdnest Sdn. Bhd, Ng Ching Phock berkata, penternakan burung layang-layang telah menjadi industri baru untuk membangkitkan ekonomi negeri Kelantan selain menawarkan peluang pekerjaan kepada penduduk di situ.
Dengan memiliki ladang serta pusat jualan sendiri iaitu di Kota Bharu, Nespure Birdsnest memasarkan produk sarang burungnya di rangkaian kedainya serta menjualnya kepada pihak ketiga.
“Sarang-sarang burung hasil keluaran tempatan adalah antara yang terbaik di dunia dari segi kualiti dan mendapat permintaan daripada pasaran antarabangsa sama ada yang mentah atau pun yang siap diproses,’’ kata Ching Phock.
Katanya, di Nespure Birdsnest, pekerja-pekerja digaji untuk memungut, membersih dan memproses sarang-sarang burung berkualiti dengan menggunakan kaedah tradisional.’
Syarikat itu juga merupakan yang pertama membuka pusat jualan di Pantai Timur dengan memasarkan produk sarang burung layang-layang laut termasuk puding longan dan puding sarang burung; dan juga soya dengan sarang burung.
“Sarang burung layang-layang laut adalah berkualiti. Ia dipasarkan di luar negara dan dieksport ke beberapa negara di Asia Barat,’’ tambahnya.
Menurut Dr. Christopher Lim, yang merupakan salah seorang pengendali ladang ternakan burung layang-layang paling berjaya di Malaysia dan turut memegang rekod pencapaian ‘pertumbuhan kedua terpantas dalam pengeluaran sarang burung yang boleh dimakan’ di negara ini, ladang yang berjaya mesti mampu menghasilkan satu sarang burung yang boleh dimakan bagi setiap kaki persegi setiap empat bulan sekali.
Dr. Lim yang juga pakar buah pinggang serta ketua Unit Nefrologi dan pensyarah kanan perubatan di Universiti Putra Malaysia telah melibatkan diri dalam penternakan burung layang-layang sejak Jun 2005.
Beliau berkata, sebuah rumah kedai dua tingkat dengan keluasan 20 kaki dan 70 kaki serta ruang binaan 2,800 kaki persegi sepatutnya berkeupayaan menghasilkan 2,800 sarang burung setiap empat bulan.
“Ini menjadikan jumlah keseluruhan pengeluaran sebanyak 8,400 sarang burung yang boleh dimakan setahun dan menjangkakan harga jualan sebanyak RM4,500 sekilogram, maka pulangan pelaburan adakah sebanyak RM342,000 setahun.
“Populasi burung layang-layang begitu menggalakkan sehingga ruang untuk menghasilkan sarang burung menjadi sesak kebiasaannya untuk tempoh lima hingga tujuh tahun.
“Apabila keadaan ini terjadi, burung layang-layang sedia ada tidak akan berhijrah, tetapi anak-anak burung layang-layang yang menetas di pusat penternakan itu terpaksa mencari tempat kediaman baru. Inilah masanya untuk sesebuah pusat penternakan itu diperbesarkan atau ditambah keluasannya.’’
Bio Research Centre (M) Sdn. Bhd yang lebih dikenali sebagai BRC iaitu salah sebuah pusat penternakan burung layang-layang terbesar di Perak turut menjelajah ke Mersing, Kota Baru dan juga di Kuantan serta Kuala Rompin di Pahang.
Pengarah Urusan BRC, Loke Teu Loong berkata, sejak pengeluaran secara komersial sarang burung yang boleh dimakan mula berkembang pada tahun 1998, semakin banyak ahli perniagaan dan usahawan industri kecil sederhana, tuan tanah serta para pelabur mula menyedari potensi kewangan hasil industri penternakan burung-burung layang di Malaysia.
“Ladang-ladang burung layang-layang mestilah terletak di jajaran terbang burung layang-layang iaitu dari tengah hutan simpan, kawasan paya bakau, ladang-ladang, sungai dan laut. Ini membentuk suasana yang sempurna untuk burung layang-layang,’’ kata Teu Loong.
80 peratus gagal
Ketiga-tiga pengusaha ladang ternak burung layang-layang itu bersetuju bahawa semua orang boleh menceburi bidang tersebut walaupun 80 peratus daripada mereka tidak berjaya.
Ini disebabkan, mereka tidak memiliki pengetahuan mengenai tingkah laku burung layang-layang, menternak di lokasi yang tidak betul atau reka bentuk ladang yang tidak sempurna.
“Berbanding 20 tahun lalu, burung layang-layang di Malaysia sekarang ini mempunyai banyak pilihan.
“Jika mereka tidak terbang dan mendiami ladang anda, terdapat 25,000 ladang lain menunggu, kerana itu seseorang pengusaha tidak boleh melakukan sebarang kesilapan,’’ tegas Dr. Lim.
Pada 2004, industri penternakan burung layang-layang di Malaysia telah diiktiraf oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan sebagai penyumbang kepada tukaran mata wang asing bagi negara ini.
Sehubungan dengan itu, pihak kementerian telah mewujudkan satu Garis Panduan Penternakan Burung Layang-Layang untuk semua pihak berkuasa tempatan di peringkat daerah, majlis tempatan dan majlis bandar raya di seluruh negara.
Sebagai tambahan, Jabatan Perkhidmatan Haiwan juga mempunyai garis panduan untuk penternakan burung layang-layang.
Sarang burung dipercayai kaya dengan kalsium, zat besi, potassium dan magnesium yang amat berguna kepada kesihatan.
Sarang-sarang burung dibina semasa musim mengawan dengan burung layang-layang jantan mengeluarkan jaluran air liur untuk tempoh 35 hari.
Bentuknya ketika itu seakan-akan cawan mungkum yang melekat pada siling atau dinding.


usahawantani.com

Read more...

23 July 2008

Hati-hati taktik penipuan

Golongan belia yang ingin menceburi bidang keusahawanan pertanian dinasihatkan agar berhati-hati dengan taktik dan penipuan beberapa syarikat menerusi penganjuran kursus dan seminar.

Pengarah Akademi Usahawantani(http://www.usahawantani.com) , En Ahmad berkata, terdapat syarikat berkenaan pada mulanya menganjurkan kursus atau seminar dengan mengenakan bayaran tertentu.

Beliau menambah ada kalanya bayaran yang dikenakan adalah tidak munasabah dan terlalu tinggi sedangkan bidang kursus yang disediakan boleh diperolehi dengan mudah menerusi agensi-agensi kerajaan atau kursus-kursus pada kos yang berpatutan yang dianjurkan oleh Akademi Usahawantani .

Menurutnya, selepas mengikuti kursus atau seminar itu, peserta diberikan pinjaman mudah dengan jumlah tertentu tetapi terikat dengan beberapa syarat termasuk peserta perlu mendapatkan bahan-bahan untuk memulakan perusahaan menerusi syarikat tersebut.

"Satu lagi syarat yang membebankan ialah peserta juga terpaksa menjual hasil perusahaan mereka kepada syarikat berkenaan walaupun kadang kalanya dari segi kos tidak menguntungkan peserta," katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan Seminar Peluang Usaha Tani di Serdang semalam.


usahawantani.com

Read more...

Tomato fertigasi Harrani menguntungkan

BATU PAHAT 22 Julai - Berbekalkan keyakinan dan semangat kental untuk menjadikan bidang pertanian sebagai perniagaan serta sumber pendapatan tetap, Harrani Dayad (gambar), 38, gigih mengusahakan tanaman tomato menggunakan teknik fertigasi yang memberi pulangan menguntungkan.

Harrani mengusahakan tanaman tersebut di belakang rumahnya di Jalan Haji Ibrahim, Kampung Nawi Jaya dekat sini dengan modal permulaan RM70,000 di tapak seluas 0.2 hektar sejak tiga tahun lalu.

Menurutnya, teknik tersebut dipilih kerana selain lebih maju dan berteknologi moden ia juga mampu mengeluarkan hasil tanaman berkualiti tinggi dengan jumlah yang memuaskan.

"Jika dahulu hanya tanah seluas 0.2 hektar digunakan tetapi kini tapak itu diluaskan lagi sehingga dua hektar dan saya juga telah menambah beberapa jenis tanaman ekoran hasil pengeluaran fertigasi yang menggalakkan.

"Tanaman tambahan itu ialah tomato ceri, terong dan tembikai rock," kata kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Harrani yang dahulunya bekerja makan gaji nekad berhenti kerja untuk menceburi bidang itu yang dianggap lebih memberi kepuasan diri.

Menurutnya, secara umumnya fertigasi menggunakan teknik pembajaan secara titisan di beg-beg plastik yang dipanggil pot-pot pokok yang mengandungi baja iaitu campuran sabut, sekam padi bakar bagi menggantikan tanah.

Beliau kini mempunyai 15,000 pokok tomato ceri dengan kawasan tanaman seluas 0.6 hektar, 6,000 pokok tembikai rock dengan keluasan tanaman 0.4 hektar dan 7,000 pokok terong dengan keluasan satu hektar.

Setakat ini, katanya, hasil pertaniannya berjaya dipasarkan ke pasar-pasar borong sekitar daerah ini hingga ke Kuala Lumpur membabitkan pasar raya terkenal seperti Jaya Jusco, ISETAN dan Carrefour.

Tambahnya, tomato ceri dijual dengan harga RM3, terong RM3.80, tembikai rock RM4 sekilogram kepada pemborong.

Mengenai teknik fertigasi, Harrani berkata, beliau mendapat pendedahan berkaitannya dan pasaran serta bahan mentah ketika bekerja di Pejabat Pertubuhan Peladang Negeri Johor (PPNJ) selama sembilan tahun sebelum berhenti mengerjakan pertanian itu.

Lebih membanggakan, beliau sendiri mengubah suai teknik itu dengan mencipta kaedah penyaluran titisan baja bercampur air ke pokok-pokok dengan bekalan air diperoleh dari dalam tanah. Kini modal keseluruhan tanamannya mencecah RM500,000.

Menurut Harrani, kaedah itu mengurangkan kos operasi kerana tidak memerlukan ramai pekerja disebabkan kerja-kerja pembajaan dan penyiraman dilakukan serentak menerusi saluran paip di setiap pot pokok.

"Selain campuran baja dan air, saya hanya perlu menekan butang tertentu dan ia cuma mengambil masa 10 minit untuk pembajaan dan setiap hari sebanyak lapan kali semburan dapat dilakukan ," jelasnya.

Beliau berkata, masalah rumput liar dan serangan bakteria atau virus dari tanah tidak berlaku kerana ia pokok-pokok ditanam dalam beg plastik itu.
http://www.utusan.com.my/utusan/arkib.asp?y=2008&dt=0723&pub=utusan_malaysia&sec=johor&pg=wj_04.htm&arc=hive

usahawantani.com

Read more...

Potensi serai dikomersialkan


BACHOK - Serai, tanaman yang kebiasaannya ditanam di pinggir rumah dan sering digunakan sebagai bahan perencah bagi menambahkan aroma dan keenakan masakan.

Namun, tidak semua yang mengetahui serai juga berpotensi dikomersialkan secara besar-besaran dan boleh meraih pendapatan lumayan daripada hasil hilirannya.

Tumbuhan yang dikatakan paling mudah penjagaannya, paling murah kos penanamannya serta paling kurang musuh perosak ini mula mendapat pasaran meluas dan kepelbagaian kegunaan industri di dalam dan luar negara.

Dengan nilai semakin tinggi dan permintaan kian melonjak, ia terus berkembang dengan kaedah penanaman secara perladangan termasuk di Kelantan.

Ia lebih terarah kepada pasaran eksport terutamanya bagi bekalan industri aroma terapi kerana ekstraknya dianggap setaraf dengan gaharu.

Bio Daun Plantation Sdn. Bhd., sebuah syarikat bumiputera tempatan menyedari potensi besar ini dengan mengorak langkah ke arah pengeluaran secara komersial.

Malah, dalam waktu yang singkat, ia mula menyasarkan untuk menerajui perusahaan itu di Pantai Timur.

Syarikat itu memanfaatkan peluang melalui penyelidikan oleh Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) untuk belajar menguasai teknik penanaman, pemerosesan dan penerokaan pasaran di luar negara.

Kalangan usahawan bumiputera difahamkan begitu kurang memberi perhatian terhadap hasil penyelidikan MARDI dalam sektor pertanian selama ini.

Pengarah Urusannya, Ahmad Zuhawi Awang, 35, berkata, Jabatan Pertanian dan MARDI telah membuka banyak jalan bagi pihaknya untuk meneroka bidang ini pada tahun lalu di samping kerjasama Pertubuhan Peladang Negeri Kelantan.

''Dengan perkembangan awal yang positif, ia semakin menyakinkan pihak syarikat untuk menjadi peneraju dalam sektor perladangan serai kelak dengan turut bersama menyumbangkan peluang ekonomi kepada masyarakat petani.

''Di samping itu, kami sudah merancang menggerakkan industri hiliran berasaskan bahan mentah itu yang boleh turut digunakan untuk menghasilkan biodesel," ujarnya.

Syarikat yang digerakkan oleh dua usahawan muda ini tanpa ragu-ragu menceburi bidang itu dengan memulakan penanaman serai paha ayam atau serai hijau pada penghujung tahun lalu di tapak seluas lapan hektar yang disewa di Kuala Lipis.

''Berbeza dengan serai makan atau sering dipanggil serai galah yang banyak dieksport ke Thailand, kami tumpukan kepada serai paha ayam ini yang lebih bersaiz besar batangnya dan berbau seperti limau.

'Kita masukkan hormon dari Pakistan dalam tanaman untuk mendapatkan lebih banyak ekstrak dan aroma yang lebih tinggi mutunya," ujarnya.

Ahmad Zuhawi memberitahu, pihaknya memulakan operasi dengan modal sebanyak RM10,000 dan kini secara keseluruhan mengusahakan 121 hektar tanah di Pahang, Terengganu dan Kelantan.

''Di Kelantan, kami menyewa tanah daripada penanam tembakau yang tidak lagi mengusahakan tanaman itu termasuk 40 hektar di Beris Lalang, Bachok," ujarnya.

Katanya bagi setiap hektar, hasil yang diperoleh dianggarkan RM35,000 hingga RM42,500 setahun melalui tuaian dua kali setahun di mana hasil tuaian diproses dalam bentuk minyak dan serbuk melalui sebuah kilang di Negeri Sembilan.

''Serai keluaran kami juga sudah mula dipasarkan ke Eropah, India dan China bagi industri wangian dan kosmetik, manakala ke Rusia pula bagi produk anti kanser,'' katanya.

Bagi menggerakkan perusahaan ini, tanpa bergantung sepenuhnya kepada pinjaman, pihaknya memperkenalkan konsep usahasama melibatkan hampir 100 orang penduduk.

''Mereka hanya perlu mengeluarkan modal RM5,000 bagi satu hektar tanaman yang kami usahakan sepenuhnya dan keuntungan akan dibahagikan sama rata sepanjang tiga kali jualan hasil tuaian," ujarnya.

Katanya lagi, buat permulaan, sebanyak lima tan serai dalam bentuk minyak dan serbuk di eksport dan syarikatnya memerlukan tuaian tanaman 100 hektar serentak setiap bulan untuk menampung permintaan pasaran luar negara yang dianggarkan 200 tan sebulan.

''Ekoran itu, syarikat kami perlu mengusahakan tanaman lebih luas agar bekalan terus berkekalan, justeru, kita telah memohon 2,000 hektar tanah daripada kerajaan negeri Kelantan dan Pahang,'' katanya.

Katanya, pihaknya juga merancang untuk mendirikan kilang memproses serai di Beris Lalang untuk mengurangkan kos penghantaran di samping menampung bekalan yang dijangka melonjak.

http://www.utusan.com.my/utusan/arkib.asp?y=2008&dt=0723&pub=utusan_malaysia&sec=timur&pg=wt_01.htm&arc=hive


usahawantani.com

Read more...

Bertani memberi hasil lumayan


ALOR STAR 23 Julai - Bagi sesetengah orang, bercucuk tanam dan menternak dianggap tidak boleh menampung kehidupan seharian. Tetapi bagi seorang petani di Alor Star, bidang pertanian mendatangkan hasil lumayan.
Bagi Mohd. Hisham Md. Isa, 34, yang menanam sayur-sayuran dan mengusahakan pusat jualan dan tapak semaian sayur-sayuran di Batu 8, Jalan Alor Star-Sungai Petani dekat sini, dia mampu memperolehi pendapatan antara RM200 hingga RM300 sehari.
Antara sayuran yang ditanam dan dijualnya ialah pelbagai jenis cili seperti cili hidup, cili api, cili oren, cili hijau muda, cili strawberi, cili unggu, cili hitam, cili paprika dan cili jambu.
Sayuran lain seperti terung, tomato, halia dan cekor betik madu.
Selain menanam kira-kira 1,000 batang pokok cili, dia juga memelihara 2,000 ekor ikan keli dalam bekas gentian kaca dan 15 ekor kambing kampung.
"Modal permulaan saya hanyalah sebanyak RM700 yang dipinjam daripada ahli keluarga dan rakan-rakan," katanya.
Mohd. Hisham yang sebelum ini berniaga pakaian terpakai, turut menjual baja dan racun serangga tanaman serta menyediakan khidmat pemasangan paip untuk saluran pengairan tanaman


usahawantani.com

Read more...

17 July 2008

Bertani di Tanah Rezab Kubur

Assalamualaikum .

Apa khabar semua . Semalam saya berkesempatan melawat ladang jagung sahabat saya di sebuah kampung di hulu langat . Di samping tanaman jagung sahabat saya juga menternak lintah . Walaubagaimanapun mengikut kat sahabat saya itu dia sudah hampir fed-up dgn ternakan lintah . Hasilnya katanya tidak nampak seperti yg heboh diperkatakan . Dia mempunyai 3 kolam tanah yang besar dan 4 kolam simen utk projek lintah . Dia telah menutup 3 kolam tanah dan diganti dengan ternakan ikan puyu . Nampak gayanya ikan puyu beliau begitu cepat membesar . Baru sebulan dilepaskan sudah ada yg sebesar 3-4 inci besarnya . Mungkin disebabkan sumber makanan semulajadi yg banyak hasil dari dari kolam tingallan lintah dan air dari sumber semulajadi yg sentiasa mengalir . Benih puyu diperolehi dari seorang pembenih di Sg Tekali . Sekarang ini sahabat saya tidak lagi menternak lintah tapi penjadi pemborong lintah yg menurutnya lebih memberi pulangan berbanding menternak . Ketika di ladangnya yg seluas 3 ekar yagg dipajak pada kadar rm600 sebulan itu . Beliau sedanag menjalankan ujikaji pembenihan ikan keli . Saya sempat mempelajari sedikit selok belok pembihan tersebut . Wow seronok juga ye .

Tapi apa yg ingin saya utarakan disini ialah usaha sahabat saya itu yang sedang mengusahakan penanaman jagung diatas tanah rezab kubur yang seluas hampir 8 ekar . Beliau mengusahakan ladang tersebut atas permintaan jkkk kampung tersebut . Setakat ini daripada 8 ekar tanah 2 ekar telah digunakan sebagai kubur sementara 6 ekar masih terbiar . Memandangkan untuk memenuhkan rezab tersebut dgn kubur mungkin mengambil masa berbelas/berpuluh tahun lagi maka usaha jkkk tersebut utk mengusahakan tanah rezab tersebut dengan tanaman jagung amat dipuji . Hasil sewaan tanah tersebut boleh digunakan utk aktiviti umat islam dikampung tersebut .

Jika di kampung-kampung lain pun boleh berfikiran terbuka seperti jkkk kampung tersebut saya rasa ekonomi umat islam berkembang pesat dari dulu lagi .

Pada hari berikutnya 4 orang sahabat saya telah meneroka satu kawasan tanah terbiar disekitar taman perumahan mereka . Tanah yg sudah lama terbiar itu ditumbuhi pohon senduduk dan lalang yang boleh menjadi sarang haiwan berbisa seperti ular dan babi hutan . Mereka telah menebas dan meracun kawasan tersebut . Yg pasti kawasan tersebut adalah milik kerajaan kawasan yg seluas hampir 2 ekar itu yg pada pendapat saya memang tidak akan diusahakan oleh kerajaan sampai bila2 kecuali kerajaan ingin membuat jalanraya disitu telah terang bendera dan ditanami dgn pokok serai peha ayam . Syabas sahabat semua . Teruskan usaha anda menjadi petani moden .

usahawantani.com

Read more...

16 July 2008

Pelan Pemasaran Komoditi Halia

Berdasarkan kepada kajian yang telah dilakukan oleh FAMA, permintaan halia segar di pasaran domestik pada tahun 2002 di jangka 18,603 mt sedangkan jangkaan pengeluaran halia tempatan adalah 9233 mt. Jangkaan kekurangan bekalan sebanyak 9370 mt di tampung oleh import dari negeri China, Indonesia, Thailand, Myanmar, Hong Kong dan Vietnam. Syer halia tua dan muda tempatan dalam pasaran domestik ialah 49.63%. Sumber utama bekalan halia tua dari Bukit Tinggi, Pahang yang terkenal dengan halia Bentong dan dari Sabah(Keningau dan Tambunan), manakala halia muda dari Sepang Selangor ( varieti Sabah/Indonesia).
Halia digunakan sebagi bahan perasa dalam masakan pelbagai makanan lauk pauk dan hidangan.Jangkaan penggunaan halia oleh isi rumah dan institusi pada tahun 2002 adalah 10,972 tan metrik dan di jangka akan terus meningkat ke14,227 tan metrik pada tahun 2006.
Pada tahun 2000 eksport di pasaran dunia bagi halia ialah 226,743 mt bernilai USD 130, juta. 10 negara pengeksport utama dunia adalah China 49%, Thailand 14% Taiwan 7%, Indonesia 4%,Brazil 4%,India 4%,Belanda 3% Fiji 3% Nepal 2% dan Singapura 2%. Eksport Malaysia pada tahun tersebut hanya 189 tan metrik bernilai USD 97,000 terutama ke Singapura(75%) dan Amerika Syarikat (11%) . Ini bermakna syer pasaran eksport Malaysia di dunia 0.08% sahaja menjadikan Malaysia di tempat ke-28 di pasaran dunia. Walaupun kuantiti eksport dunia telah berkembang sebanyak 8% dari tahun 1966-2000, namun pada tempoh tersebut, eksport Malaysia merosot sebanyak 22% . Pengeluaran di Semenanjung Malaysia berkurangan dari 54.3 hektar pada tahun 1996 ke 244 hektar pada tahun 2000. Namun potensi yang baik komoditi ini dipasaran antarabangsa menjadikan ianya satu komoditi yang boleh dihasilkan dengan kompetitif di negara ini.

Klik sini untuk lapuran penuh : LAPORAN HALIA

usahawantani.com

Read more...

Dua beranak raih hasil lumayan tanam limau madu


BALING 15 Julai - Ketika kebanyakan pekebun memilih tanaman komoditi utama seperti getah dan kelapa sawit untuk mendapat keuntungan, namun lain pula bagi dua beranak yang lebih suka mengusahakan tanaman limau madu.
Malah, usaha berani Ramli Salleh, 70, dan anak sulungnya, Basri, 35, mula meraih hasil lumayan dan dijadikan contoh oleh para pekebun lain.
Mereka membuktikan kesungguhan mengusahakan tanaman limau madu sehingga mengeluarkan hasil sebanyak 12 tan metrik semusim.
Kebun milik mereka seluas lapan hektar di Kampung Lubuk Batu, Kuala Pegang, di sini yang diusahakan sejak tahun 2001 dijalankan secara sepenuh masa, kini mampu menguasai pasaran limau madu tempatan.
Menurut Basri, kebun yang terletak kira-kira 100 meter dari rumah mereka dijaga sepenuhnya bagi menjamin mutu buah yang lebih baik dalam meneroka pasaran buah limau madu.
Katanya, bermodalkan kira-kira RM100,000 hasil pinjaman daripada Agro Bank dan wang simpanan sendiri, dia bersama bapanya telah berusaha untuk memastikan tanaman limau madu mengeluarkan hasil berganda dengan penjagaan rapi.
''Semua usaha menanam dan menjaga dilakukan sendiri bagi memastikan tanaman ini mengeluarkan hasil mengikut jadual,'' katanya kepada Utusan Malaysia, di sini semalam.
Basri mengakui walaupun sedikit sebanyak masalah berlaku terutama dari segi serangan penyakit, namun mereka mendapat khidmat nasihat dari Jabatan Pertanian.
Katanya, jabatan itu turut membantu memastikan tanaman limau madu secara komersial itu dapat berbuah lebat dan tidak diserang penyakit secara serius.
Keperluan limau madu untuk pasaran tempatan cukup melegakan dua beranak ini.
Ini kerana setelah limau itu cukup tua, ia boleh dikutip sendiri oleh peraih dan pembeli yang datang ke kebun.
Malah, jelas Basri, selain peraih tempatan pihak Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) turut membeli hasil tanamannya untuk diedarkan kepada penjual buah di luar daerah ini.
Basri berkata, kebiasaannya peraih dan pembeli akan datang memetik sendiri buah limau di pokok dan membelinya pada harga di ladang kira-kira RM1 sekilogram.
Tambah beliau, walaupun harganya agak rendah berbanding dengan harga di pasaran, tetapi kerja memetik buah dilakukan oleh mereka sendiri.
Kata Basri, kebiasaannya setiap hari antara 200 hingga 300 kilogram buah dapat dikutip oleh peraih dan pembeli.
Bagi Ramli pula, mengusahakan tanaman limau madu amat berpotensi tinggi kerana permintaan di pasaran cukup menggalakkan berbanding buah-buahan lain.
Usaha bekas guru itu tidak sia-sia dan berbaloi sehingga boleh dibanggakan terutamanya dapat memberi dorongan kepada anaknya untuk terlibat dalam bidang pertanian itu.
Selain itu, usaha tersebut dianggap sebagai menyahut seruan dan hasrat kerajaan untuk menjadikan pertanian sebagai satu perniagaan.
''Usaha ini untuk memberi dorongan kepada anak saya supaya terlibat dalam bidang pertanian selain memperoleh pendapatan yang lumayan,'' katanya.
Baginya, walaupun baru pertama kali terlibat dengan tanaman itu, sekurang-kurangnya, beliau dapat belajar selok-belok tanaman limau madu.
Ladang limau madu dua beranak itu juga menjadi contoh betapa usaha pertanian secara komersial boleh menandingi dan mendatangkan hasil berlipat ganda setanding dengan tanaman komoditi lain.
Limau madu itu yang rasanya agak manis merupakan satu daya tarikan kepada peminat buah-buahan tersebut.
Kejayaan Ramli dan anaknya mengusahakan tanaman komersial itu telah membuka mata kebanyakan petani di sekitar kampungnya yang sebelum ini hanya membiarkan tanah sawah terbiar dan ditumbuhi lalang.
Pengusaha tanaman limau lain juga menunjukkan minat mempelajari teknik yang dilaksanakan oleh Ramli dan anaknya dan mereka seringkali berkunjung ke ladang limau madu tersebut.


usahawantani.com

Read more...

03 July 2008

Rumput ternakan bawa pulangan lumayan


KUALA KANGSAR 2 Julai - Keberanian seorang bekas ketua kampung, Mustafa Ahmad, 41, memajukan tanah terbiar seluas 4.5 hektar dengan tanaman rumput jenis Napier Taiwan kini mula berbaloi dan membuahkan hasil lumayan.
Walaupun tanah yang terletak di 'pulau jadian' di Sungai Perak di Kampung Senawar itu mengandungi 80 peratus pasir, tetapi ia tidak menghalang hasrat menebal usahawan ini untuk menjadikannya sebagai sebuah ladang yang subur.
Berbekalkan keyakinan tinggi terutama sekali selepas melupakan dunia kontraktor kelas F, beliau mengikuti pelbagai kursus pertanian dan haiwan termasuk tanaman rumput ini.
Menurut Mustafa, rumput Napier Taiwan yang diusahakan sejak empat tahun lalu itu menunjukkan hasil memberangsangkan kerana tumbuhan itu cepat membesar dan boleh dituai dalam masa 30 hingga 40 hari sahaja.
Kata beliau, tanaman kontan berkenaan telah mendapat kebenaran daripada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Daerah Kuala Kangsar bagi tujuan penghasilan makanan binatang ternakan.
''Dengan menggunakan teknologi Thailand serta baja berprotein tinggi, saya berjaya menghasilkan rumput Napier yang mempunyai daun selebar 2.5 sentimeter walaupun saiz biasa cuma 1.5 sentimeter.
''Melihat hasil tanaman yang begitu subur ini saya rasa cukup puas kerana pengorbanan menumpukan usaha ini sudah mula membawa pulangan," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini kelmarin.
Mustafa memberitahu, tanaman berkenaan kini sudah mula dijual di pasaran yang semakin meluas dengan batangnya dijual pada harga RM1.60 sekilogram dan daun hijaunya berharga 10 sen sekilogram.
Menurutnya, dengan harga tersebut beliau kini boleh tersenyum lebar apabila sudah mampu memperoleh pendapatan sekitar RM12,000 sebulan.
Kata beliau, rumput Napier yang ditanamnya itu mempunyai protein antara 13 hingga 14 peratus berbanding dengan rumput tempatan yang cuma mengandungi antara 9 hingga 10 peratus protein.
Jelas beliau, ia menjadikannya sebagai tanaman yang cukup sesuai untuk makanan binatang ternakan seperti kerbau, lembu, kambing, rusa, ayam belanda dan burung unta.
Katanya, benih dan daun Napier yang ditanamnya bukan sahaja mendapat pasaran di sekitar negeri Perak malahan juga mendapat tempahan dari Pulau Pinang, Perlis, Kedah dan Kelantan.
''Pada peringkat awal memang agak sukar bagi saya mengusahakan tanaman ini kerana keadaan tanah berpasir dan penuh dengan tumbuhan liar.
''Saya terpaksa mengeluarkan perbelanjaan agak besar iaitu sekitar RM20,000 untuk modal keseluruhan termasuk membersihkan tanah ini tetapi berbaloi kerana sekarang ia sudah jadi ladang rumput yang begitu menghijau," katanya.
Mustafa berkata, oleh kerana projek tanamannya itu telah mula menunjukkan kejayaan maka beliau sedang berusaha memperkembangkan usaha penanaman rumput itu di satu lagi kawasan seluas 4.5 hektar di Kampong Jerlun tidak jauh dari projek pertamanya.
Katanya, ia bagi membolehkan beliau mencapai hasrat sebenarnya iaitu untuk menghasilkan palet makanan ternakan daripada rumput Napier.
''Saya guna bahan campuran terdiri daripada Napier Taiwan, sagu rumbia, hampas kacang soya, gula merah, garam galian, 20 jenis rumput tempatan, starbio, protein ikan dan beberapa campuran lain.
''Daripada kajian yang saya lakukan palet ini mampu mencegah penyakit kerana mempunyai daya tahan berprotein asli," ujarnya yang mendapat bantuan kewangan sebanyak RM131,000 daripada Perbadanan Pembangunan Industri Kecil dan Sederhana bagi membina kilang tersebut di Talang.
Katanya, dengan menggunakan mesin yang diimport dari China, kilangnya itu nanti mampu menghasilkan palet bermutu tinggi dengan harga 35 sen sekilogram berbanding dengan palet lain berharga 55 sen.
Jelasnya, palet tersebut lebih istimewa kerana boleh juga digunakan untuk makanan ternakan ikan dan sesiapa yang berminat bagi mendapatkan bekalan palet itu rumput Napier boleh menghubunginya di talian 012-5049000.


usahawantani.com

Read more...

Daftar Ahli Usahawantani

Followers

There was an error in this gadget

IKLAN 1

Ruang iklan untuk disewa

IKLAN 2

Ruang Iklan untuk disewa
PELUANG KERJASAMA

Pihak Portal Usahawantani.com dan Akademi Usahawantani sedang dalam proses menyemak dan menilai kembali kursus-kursus UsahawanTani yang dianjurkan oleh pihak kami . Kami menjemput semua pengusaha-pengusaha yang berpengalaman ATAU baru dalam mengendalikan kursus-kursus usahawantani untuk berkerjasama atau menjadi panel kami . Sila hantarkan proposal anda kepada Pengurus Akademi UsahawanTani di email akademi@usahawantani.com . Maklumat yang mesti ada dalam proposal anda ialah :
1. Nama Anda / Syarikat
2. Alamat
3. Bidang UsahaTani
4. Kandungan Kursus
5. Bilangan Hari
6. Kos Kursus
7. Lokasi Kursus
8. Pengalaman
9. Cadangan kaedah kerjasama (option)


Daftar Ahli Usahawantani

Borang Pendaftaran

Nama
Email
No Handphone (e.g 019-1234567)
Lokasi (e.g Bandar/Negeri)
Image Verification
captcha
Please enter the text from the image:
[ Refresh Image ]


Nota : Selepas menekan butang 'Daftar' sila lihat email anda untuk kepastian bahawa pendaftaran anda telah diterima oleh pihak kami.

  © Blogger templates The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP