KONVENSYEN Pertanian Kebangsaan 2007
KONVENSYEN Pertanian Kebangsaan 2007 yang berakhir Ahad lalu, nyata telah membuka minda orang Melayu bahawa pertanian adalah satu perniagaan, bahkan satu jaminan hidup yang boleh mengubah percaturan masa hadapan.
Dengan tujuh resolusi yang dicapai, konvensyen yang menghimpunkan pakar dalam bidang pertanian, perniagaan, akademik, pemimpin UMNO dan pelaksana dasar bukan sekadar dilihat memberi impak besar dalam menjana pertanian itu tetapi melahirkan idea baru untuk tindakan segera.
Paling wajar ialah saranan Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi untuk mewujudkan koperasi agro, yang mana menyaksikan perhimpunan ramai petani kecil dalam satu bentuk gagasan - bekerjasama memacu kerja, mendapat keuntungan dan paling utama mencari peluang masa hadapan secara maksimum.
Umum dan pemerhati yang datang pada konvensyen itu juga bersetuju bahawa pertanian dahulu tidak boleh lagi disamakan dengan pertanian hari ini, bahkan kisah lama penjajah yang melabelkan orang Melayu sebagai petani tradisional, harus dilupakan dan diluputkan sahaja.
Usaha untuk meletakkan orang Melayu hari ini sebagai seorang petani yang tidak lagi berkarat otaknya sedang dilakukan dengan begitu teliti, malahan ‘revolusi senyap’ - satu inisiatif yang dirancang oleh pendukung parti dan kerajaan merupakan satu cara untuk mengasak minda dan mentaliti kita supaya menerima perubahan ini dengan dakapan yang berharga.
Hal ini sebenarnya dibangkitkan dalam beberapa bengkel pada konvensyen itu antaranya mencadangkan penubuhan satu jawatankuasa di peringkat Kabinet untuk melakukan penstrukturan semula institusi pertanian ini agar konsep ‘pertanian itu perniagaan’ mampu dilaksanakan dengan licin dan teratur.
Benar, istilah perniagaan itu bukan bermakna orang Melayu semuanya akan berlumba-lumba untuk berniaga dalam sektor pertanian, tetapi melihat skop yang lebih meluas bahawa pertanian sebenarnya ‘luas’, dari bertani, pengeluar, pemprosesan, pengedaran, pengeksportan dan sebagainya.
Satu lagi yang menarik dalam konvensyen ini ialah aspek halal yang turut dibangkitkan dan peluang sebagai negara yang mempengerusikan Persidangan Pertubuhan Islam (OIC), pendekatan ini wajar digunakan secara holistik, di mana produk halal kita boleh dieksport dalam perjanjian negara dengan kumpulan OIC ini.
Agak malang ketika ini, apabila industri halal Malaysia terlalu terbatas dalam nilai dan jumlah penyertaan orang Melayu dan lebih malang lagi konsep halal dan suci serta bersih itu masih belum dicapai sepenuhnya.
Justeru, resolusi yang dicadangkan iaitu untuk menjamin kesahihan produk halal dari Malaysia dengan memastikan pematuhan kepada syarat syariah dari segi sumber, proses dan pengendalian seluruh rantaian dari ladang ke meja, wajar dilihat secara serius dan patut dilaksanakan dengan menyeluruh.
Oleh yang demikian konvensyen yang berakhir itu bukan lagi satu ‘angan-angan Mat Jenin’ tetapi kian menjadi relevan terhadap memangkinkan usaha dan tenaga untuk bergerak sebagai usahawan tani.
Banyak sebab mengapa pertanian ini perlu diperkasakan semula kerana masyarakat Melayu ketika ini dilihat tidak lagi ‘berbudi kepada tanah’, apatah lagi mengusahakan sektor pertanian ini secara komersial.
Pemikiran mereka kini menerjah kepada era yang lebih mapan seperti bergelut dalam dunia siber, menggasak fizikal dan mental untuk memajukan sektor perindustrian sedangkan pertanian sebenarnya diistilahkan oleh masyarakat bukan Melayu sebagai ‘sektor makan tak habis’.
Hari ini kita bercakap soal kemajuan orang Melayu di desa. Benar, suatu ketika dahulu kita telah bertindak waras untuk mengalih pandangan dan usaha daripada menanam padi kepada penanaman sayur-sayuran secara komersial.
Tetapi masalahnya, keciciran melalui projek berkenaan menyebabkan orang Melayu semakin jauh ketinggalan dalam sektor pertanian. Tanah sawah semakin banyak terbiar. Lalang semakin meninggi, kemalasan pula semakin menebal.
Kenapa orang Melayu menjadi ‘rebah dalam sektor pertanian’. Ini bukan soal bantuan, bukan juga soal subsidi. Tetapi soal yang paling utama minda orang Melayu yang semakin lemah.
Lihat orang lain menanam sayur-sayuran dengan meluas? Mereka mampu kerana bersatu. Kenapa pula kita perlu mengehadkan penanaman sayur-sayuran di Cameron Highlands? Kenapa tidak ada kebun sayur yang besar di tempat lain? Kenapa dan kenapa?
Inilah antara perkara yang dirumuskan dalam konvensyen ini. Kita terlalu mengisi ‘perut orang lain’, sedangkan ‘perut orang kita’ masih lagi kembung dan kosong - penuh dengan angin.
Justeru pandangan seorang ahli panel, Profesor Diraja Ungku Aziz bahawa orang Melayu harus punyai sifat kiasu wajar dilihat dengan cara meluas kerana hari ini orang Melayu gemar mempunyai mentaliti ‘goreng pisang’ sebagaimana yang disebut Presiden UMNO.
Kalau inilah caranya orang Melayu berfikir dan tidak mahu menjadi nombor satu, maka sampai bila-bila pun, kita akan terus ketinggalan. Buatlah apa juga projek, buatlah apa juga idea dan buatlah apa juga cadangan, orang Melayu begitulah juga.
Maka sebab itulah, konvensyen yang begitu penting ini dan perlu dijadikan hujah pada Perhimpunan Agung UMNO pada 5 hingga 9 November depan dijadikan sempadan. Orang Melayu semakin ‘sakit’.
Kita tidak mampu mencari ‘ubat’ daripada orang lain. Kita punyai ubat sendiri tetapi tiada siapa yang mahu menjadi pelopornya. ‘Ubat’ itu semakin banyak, yang untung orang lain.
Dengan ini, satu pelan tindakan yang komprehensif dan praktikal serta pendekatan yang tersusun dan sejajar dengan dasar dan usaha kerajaan perlu digembleng terutama di kalangan orang UMNO supaya sektor pertanian ini, bukan sekadar menjadi enjin ketiga ekonomi negara tetapi enjin nombor satu dalam membantu masa hadapan orang Melayu.
Jadi, hari ini konvensyen itu sudah berakhir, anggota yang menyertainya sudah dipasakkan dengan pelbagai idea dan cadangan, pandangan dan teladan, usaha dan kelemahan, maka ketika berada di halaman nanti, jangan pula makan sendiri.
Ini bukan perjuangan seorang, tetapi perjuangan bangsa. Cukuplah 400 tahun lamanya orang Melayu dijajah minda oleh Barat, sampai Barat melihat orang Melayu ‘bahagia’ dalam pertanian dan memberikan peluang yang lebih baik kepada orang lain.
Kita tidak mampu lagi sengsara dan satu cara untuk memulihkan ekonomi orang Melayu ialah memperkasakan semula pertanian - satu usaha yang telah menjadi kerja turun-temurun daripada datuk dan nenek moyang kita.
Bezanya, kita ubah cara lama dan ambil pendekatan baru. Gabungkan kebun kecil kepada ladang besar. Bina kilang pemprosesan di ladang, guna teknologi moden, lakukan secara koperasi dan percayalah, pertanian itu adalah satu perniagaan yang menguntungkan.
Akhirnya nanti, orang lain akan bertanya, itu ladang sayur siapa ? Kita akan menjawab, itu ladang Abu. Itu kolam ikan besar siapa punya ? Kita jawab, itu kolam Ahmad. Itu kilang proses pertanian yang maju dan besar, siapa punya ? Kita pun menjawab, itu saya punya.
Alangkah bangganya kita, orang Melayu kembali mendada dan pertanian akan membuatkan kita terus merasa megah dan kencang gerakan nadinya.
2 comments:
prada outlet
mont blanc mountain pen
mlb jerseys cheap
birkenstock shoes
pandora bracelet
oakley sunglasses sale
toms wedges
cheap jordan shoes
kd 9 shoes
ray ban wayfarer
2017.4.7chenlixiang
zzzzz2018.8.22
louboutin outlet
moncler online outlet
oakley sunglasses wholesale
manolo blahnik shoes
adidas superstar
dsquared
canada goose uk
fitflops
coach outlet
louboutin shoes
Post a Comment