Taman AgroTeknologi Bukit Changgang












KONVENSYEN Pertanian Kebangsaan 2007 yang berakhir Ahad lalu, nyata telah membuka minda orang Melayu bahawa pertanian adalah satu perniagaan, bahkan satu jaminan hidup yang boleh mengubah percaturan masa hadapan.
Dengan tujuh resolusi yang dicapai, konvensyen yang menghimpunkan pakar dalam bidang pertanian, perniagaan, akademik, pemimpin UMNO dan pelaksana dasar bukan sekadar dilihat memberi impak besar dalam menjana pertanian itu tetapi melahirkan idea baru untuk tindakan segera.
Paling wajar ialah saranan Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi untuk mewujudkan koperasi agro, yang mana menyaksikan perhimpunan ramai petani kecil dalam satu bentuk gagasan - bekerjasama memacu kerja, mendapat keuntungan dan paling utama mencari peluang masa hadapan secara maksimum.
Umum dan pemerhati yang datang pada konvensyen itu juga bersetuju bahawa pertanian dahulu tidak boleh lagi disamakan dengan pertanian hari ini, bahkan kisah lama penjajah yang melabelkan orang Melayu sebagai petani tradisional, harus dilupakan dan diluputkan sahaja.
Usaha untuk meletakkan orang Melayu hari ini sebagai seorang petani yang tidak lagi berkarat otaknya sedang dilakukan dengan begitu teliti, malahan ‘revolusi senyap’ - satu inisiatif yang dirancang oleh pendukung parti dan kerajaan merupakan satu cara untuk mengasak minda dan mentaliti kita supaya menerima perubahan ini dengan dakapan yang berharga.
Hal ini sebenarnya dibangkitkan dalam beberapa bengkel pada konvensyen itu antaranya mencadangkan penubuhan satu jawatankuasa di peringkat Kabinet untuk melakukan penstrukturan semula institusi pertanian ini agar konsep ‘pertanian itu perniagaan’ mampu dilaksanakan dengan licin dan teratur.
Benar, istilah perniagaan itu bukan bermakna orang Melayu semuanya akan berlumba-lumba untuk berniaga dalam sektor pertanian, tetapi melihat skop yang lebih meluas bahawa pertanian sebenarnya ‘luas’, dari bertani, pengeluar, pemprosesan, pengedaran, pengeksportan dan sebagainya.
Satu lagi yang menarik dalam konvensyen ini ialah aspek halal yang turut dibangkitkan dan peluang sebagai negara yang mempengerusikan Persidangan Pertubuhan Islam (OIC), pendekatan ini wajar digunakan secara holistik, di mana produk halal kita boleh dieksport dalam perjanjian negara dengan kumpulan OIC ini.
Agak malang ketika ini, apabila industri halal Malaysia terlalu terbatas dalam nilai dan jumlah penyertaan orang Melayu dan lebih malang lagi konsep halal dan suci serta bersih itu masih belum dicapai sepenuhnya.
Justeru, resolusi yang dicadangkan iaitu untuk menjamin kesahihan produk halal dari Malaysia dengan memastikan pematuhan kepada syarat syariah dari segi sumber, proses dan pengendalian seluruh rantaian dari ladang ke meja, wajar dilihat secara serius dan patut dilaksanakan dengan menyeluruh.
Oleh yang demikian konvensyen yang berakhir itu bukan lagi satu ‘angan-angan Mat Jenin’ tetapi kian menjadi relevan terhadap memangkinkan usaha dan tenaga untuk bergerak sebagai usahawan tani.
Banyak sebab mengapa pertanian ini perlu diperkasakan semula kerana masyarakat Melayu ketika ini dilihat tidak lagi ‘berbudi kepada tanah’, apatah lagi mengusahakan sektor pertanian ini secara komersial.
Pemikiran mereka kini menerjah kepada era yang lebih mapan seperti bergelut dalam dunia siber, menggasak fizikal dan mental untuk memajukan sektor perindustrian sedangkan pertanian sebenarnya diistilahkan oleh masyarakat bukan Melayu sebagai ‘sektor makan tak habis’.
Hari ini kita bercakap soal kemajuan orang Melayu di desa. Benar, suatu ketika dahulu kita telah bertindak waras untuk mengalih pandangan dan usaha daripada menanam padi kepada penanaman sayur-sayuran secara komersial.
Tetapi masalahnya, keciciran melalui projek berkenaan menyebabkan orang Melayu semakin jauh ketinggalan dalam sektor pertanian. Tanah sawah semakin banyak terbiar. Lalang semakin meninggi, kemalasan pula semakin menebal.
Kenapa orang Melayu menjadi ‘rebah dalam sektor pertanian’. Ini bukan soal bantuan, bukan juga soal subsidi. Tetapi soal yang paling utama minda orang Melayu yang semakin lemah.
Lihat orang lain menanam sayur-sayuran dengan meluas? Mereka mampu kerana bersatu. Kenapa pula kita perlu mengehadkan penanaman sayur-sayuran di Cameron Highlands? Kenapa tidak ada kebun sayur yang besar di tempat lain? Kenapa dan kenapa?
Inilah antara perkara yang dirumuskan dalam konvensyen ini. Kita terlalu mengisi ‘perut orang lain’, sedangkan ‘perut orang kita’ masih lagi kembung dan kosong - penuh dengan angin.
Justeru pandangan seorang ahli panel, Profesor Diraja Ungku Aziz bahawa orang Melayu harus punyai sifat kiasu wajar dilihat dengan cara meluas kerana hari ini orang Melayu gemar mempunyai mentaliti ‘goreng pisang’ sebagaimana yang disebut Presiden UMNO.
Kalau inilah caranya orang Melayu berfikir dan tidak mahu menjadi nombor satu, maka sampai bila-bila pun, kita akan terus ketinggalan. Buatlah apa juga projek, buatlah apa juga idea dan buatlah apa juga cadangan, orang Melayu begitulah juga.
Maka sebab itulah, konvensyen yang begitu penting ini dan perlu dijadikan hujah pada Perhimpunan Agung UMNO pada 5 hingga 9 November depan dijadikan sempadan. Orang Melayu semakin ‘sakit’.
Kita tidak mampu mencari ‘ubat’ daripada orang lain. Kita punyai ubat sendiri tetapi tiada siapa yang mahu menjadi pelopornya. ‘Ubat’ itu semakin banyak, yang untung orang lain.
Dengan ini, satu pelan tindakan yang komprehensif dan praktikal serta pendekatan yang tersusun dan sejajar dengan dasar dan usaha kerajaan perlu digembleng terutama di kalangan orang UMNO supaya sektor pertanian ini, bukan sekadar menjadi enjin ketiga ekonomi negara tetapi enjin nombor satu dalam membantu masa hadapan orang Melayu.
Jadi, hari ini konvensyen itu sudah berakhir, anggota yang menyertainya sudah dipasakkan dengan pelbagai idea dan cadangan, pandangan dan teladan, usaha dan kelemahan, maka ketika berada di halaman nanti, jangan pula makan sendiri.
Ini bukan perjuangan seorang, tetapi perjuangan bangsa. Cukuplah 400 tahun lamanya orang Melayu dijajah minda oleh Barat, sampai Barat melihat orang Melayu ‘bahagia’ dalam pertanian dan memberikan peluang yang lebih baik kepada orang lain.
Kita tidak mampu lagi sengsara dan satu cara untuk memulihkan ekonomi orang Melayu ialah memperkasakan semula pertanian - satu usaha yang telah menjadi kerja turun-temurun daripada datuk dan nenek moyang kita.
Bezanya, kita ubah cara lama dan ambil pendekatan baru. Gabungkan kebun kecil kepada ladang besar. Bina kilang pemprosesan di ladang, guna teknologi moden, lakukan secara koperasi dan percayalah, pertanian itu adalah satu perniagaan yang menguntungkan.
Akhirnya nanti, orang lain akan bertanya, itu ladang sayur siapa ? Kita akan menjawab, itu ladang Abu. Itu kolam ikan besar siapa punya ? Kita jawab, itu kolam Ahmad. Itu kilang proses pertanian yang maju dan besar, siapa punya ? Kita pun menjawab, itu saya punya.
Alangkah bangganya kita, orang Melayu kembali mendada dan pertanian akan membuatkan kita terus merasa megah dan kencang gerakan nadinya.
KUALA TERENGGANU 2 Sept. – Kerajaan akan membangunkan kawasan seluas 25,000 hektar di seluruh negara dengan projek ternakan secara besar-besaran membabitkan pelaburan sebanyak RM2 bilion tahun depan.
Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, di bawah projek tersebut, Kerajaan Pusat membiayai kos kemudahan infrastruktur seperti jalan dan bekalan elektrik manakala syarikat swasta membangunkan 29 kawasan yang dikenal pasti.
Katanya, kementerian telah melantik sebuah syarikat perunding bagi menjayakan projek yang dianggap terbesar itu.
‘‘Butiran lengkap pelan projek itu akan saya umumkan akhir tahun ini atau awal tahun depan,” katanya kepada pemberita selepas menutup Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan 2007 di Taman Awam Batu Buruk di sini hari ini.
Hadir sama ialah Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Pembangunan Wilayah Negeri, Datuk Mohd. Jidin Shafee, Pengerusi Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas), Datuk Seri Abdul Rashid Abdul Rahman dan Pengerusi Persatuan Nelayan Kebangsaan (Nekmat), Mohamad Dolmat.
Dalam perkembangan berkaitan, Muhyiddin berkata, Terengganu akan menjadi sebuah negeri pengeluar utama makanan negara apabila Pelan Pembangunan Industri Makanan yang kini dilaksanakan secara berperingkat-peringkat dalam tempoh enam atau tujuh tahun akan datang selesai.
Beliau berkata, Terengganu berpotensi besar menjadi pengeluar utama makanan negara membabitkan ternakan, perikanan serta bioteknologi kerana ia mempunyai kemudahan asas mencukupi sebagai sebuah negeri pertanian.
Katanya, pelan pembangunan itu dilaksanakan hasil pertemuan dengan Menteri Besar, Datuk Seri Idris Jusoh semasa beliau melawat kementerian baru-baru ini dan pelan itu akan dilaksanakan sebaik sahaja urusan berkaitan selesai.
‘‘Sebahagian pelan pembangunan itu sudah dimulakan dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) serta dirancang sehingga RMK-10 dengan dibiayai bersama Kerajaan Pusat, kerajaan negeri serta sektor swasta,” katanya.
Muhyiddin menambah, kerajaan mahu menggalakkan usahawan tani mengusahakan tanaman secara besar-besaran kerana bidang pertanian mempunyai daya maju.
Katanya, jika segala rancangan yang terkandung dalam pelan itu dilaksanakan, Terengganu akan menjadi sebuah negeri pengeluar produk pertanian utama negara dalam tempoh tujuh tahun akan datang.
Terdahulu Mohd. Jidin dalam ucapannya berkata, urus niaga bernilai RM50 juta dicatatkan selama tujuh hari sambutan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan 2007 yang berlangsung sejak 27 Ogos lalu.
© Blogger templates The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008
Back to TOP