Tomato fertigasi Harrani menguntungkan
BATU PAHAT 22 Julai - Berbekalkan keyakinan dan semangat kental untuk menjadikan bidang pertanian sebagai perniagaan serta sumber pendapatan tetap, Harrani Dayad (gambar), 38, gigih mengusahakan tanaman tomato menggunakan teknik fertigasi yang memberi pulangan menguntungkan.
Harrani mengusahakan tanaman tersebut di belakang rumahnya di Jalan Haji Ibrahim, Kampung Nawi Jaya dekat sini dengan modal permulaan RM70,000 di tapak seluas 0.2 hektar sejak tiga tahun lalu.
Menurutnya, teknik tersebut dipilih kerana selain lebih maju dan berteknologi moden ia juga mampu mengeluarkan hasil tanaman berkualiti tinggi dengan jumlah yang memuaskan.
"Jika dahulu hanya tanah seluas 0.2 hektar digunakan tetapi kini tapak itu diluaskan lagi sehingga dua hektar dan saya juga telah menambah beberapa jenis tanaman ekoran hasil pengeluaran fertigasi yang menggalakkan.
"Tanaman tambahan itu ialah tomato ceri, terong dan tembikai rock," kata kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Harrani yang dahulunya bekerja makan gaji nekad berhenti kerja untuk menceburi bidang itu yang dianggap lebih memberi kepuasan diri.
Menurutnya, secara umumnya fertigasi menggunakan teknik pembajaan secara titisan di beg-beg plastik yang dipanggil pot-pot pokok yang mengandungi baja iaitu campuran sabut, sekam padi bakar bagi menggantikan tanah.
Beliau kini mempunyai 15,000 pokok tomato ceri dengan kawasan tanaman seluas 0.6 hektar, 6,000 pokok tembikai rock dengan keluasan tanaman 0.4 hektar dan 7,000 pokok terong dengan keluasan satu hektar.
Setakat ini, katanya, hasil pertaniannya berjaya dipasarkan ke pasar-pasar borong sekitar daerah ini hingga ke Kuala Lumpur membabitkan pasar raya terkenal seperti Jaya Jusco, ISETAN dan Carrefour.
Tambahnya, tomato ceri dijual dengan harga RM3, terong RM3.80, tembikai rock RM4 sekilogram kepada pemborong.
Mengenai teknik fertigasi, Harrani berkata, beliau mendapat pendedahan berkaitannya dan pasaran serta bahan mentah ketika bekerja di Pejabat Pertubuhan Peladang Negeri Johor (PPNJ) selama sembilan tahun sebelum berhenti mengerjakan pertanian itu.
Lebih membanggakan, beliau sendiri mengubah suai teknik itu dengan mencipta kaedah penyaluran titisan baja bercampur air ke pokok-pokok dengan bekalan air diperoleh dari dalam tanah. Kini modal keseluruhan tanamannya mencecah RM500,000.
Menurut Harrani, kaedah itu mengurangkan kos operasi kerana tidak memerlukan ramai pekerja disebabkan kerja-kerja pembajaan dan penyiraman dilakukan serentak menerusi saluran paip di setiap pot pokok.
"Selain campuran baja dan air, saya hanya perlu menekan butang tertentu dan ia cuma mengambil masa 10 minit untuk pembajaan dan setiap hari sebanyak lapan kali semburan dapat dilakukan ," jelasnya.
Beliau berkata, masalah rumput liar dan serangan bakteria atau virus dari tanah tidak berlaku kerana ia pokok-pokok ditanam dalam beg plastik itu.
http://www.utusan.com.my/utusan/arkib.asp?y=2008&dt=0723&pub=utusan_malaysia&sec=johor&pg=wj_04.htm&arc=hive
usahawantani.com
0 comments:
Post a Comment