Pahang bakal jadi pengeluar susu lembu terbesar negara
ROMPIN 3 April – Pahang bakal menjadi pengeluar susu lembu berkualiti tinggi terbesar negara apabila ladang tenusu bersepadu seluas 446 hektar di Muadzam Shah dekat sini, memulakan operasinya bulan ini.
Operasi ladang tenusu yang menelan belanja RM50 juta itu dijalankan sebuah syarikat ternakan tempatan, First Dairy Farm (M) Sdn. Bhd. (FIDAF).
Pengerusi FIDAF, Datuk Wan Abdullah Wan Salleh berkata, syarikatnya yang mendapat bekalan lembu baka Jersey dari 20 ladang ternakan di Australia itu dijangka mampu menghasilkan lebih 8 juta liter susu lembu pada tahun ini.
Dalam menghasilkan kualiti susu lembu yang tinggi, kata beliau, pihaknya menggunakan teknologi yang dibawa dari Australia dan New Zealand.
‘‘Projek ternakan lembu susu ini sejajar dengan hasrat kerajaan untuk menjadikan Muadzam Shah sebagai kawasan ternakan dalam Projek Wilayah Pembangunan Koridor Ekonomi Pantai Timur (ECER),’’ katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan kemasukan pertama 284 ekor lembu tenusu baka Jersey dari Australia di ladang FIDAF di Muadzam Shah dekat sini semalam.
Hadir sama menyaksikan kemasukan lembu-lembu tersebut, Pengarah Urusan FIDAF, S. Muhd. Alwi Abdullah.
Wan Abdullah memberitahu, projek tersebut mendapat sokongan penuh daripada Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani dan kerajaan negeri yang bersetuju memajak tapak ternakan lembu susu itu selama 50 tahun.
‘‘Kita juga memohon kawasan tambahan seluas 400 hektar lagi bagi memperbesarkan lagi projek ini pada masa akan datang,” katanya.
Menurut beliau, pihaknya mensasarkan sebanyak 1,200 ekor lembu akan diternak di ladang berkenaan menjelang hujung tahun ini berbanding 284 ekor pada masa ini.
‘‘FIDAF akan mengeluarkan susu segar dengan menggunakan jenama tersendiri selain menjadi pembekal kepada beberapa syarikat pengeluar susu segar di negara ini,” katanya.
Menurutnya, kesemua lembu berkenaan ditempatkan di dalam kandang tertutup berhawa dingin supaya menyamai cuaca di Australia atau New Zealand bagi memastikan susu yang dihasilkan berkualiti tinggi.
‘‘Ini merupakan teknologi pertama yang wujud di negara ini dengan lembu diletakkan di kandang tertutup yang dikawal secara automatik.
‘‘Kita juga boleh memantau pergerakan lembu-lembu terbabit menerusi kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang di kandang-kandang berkenaan,” jelasnya.
usahawantani.com
2 comments:
assalamualaikum .. syarikat kami ada membekal dan menjual rumput napier Taiwan dengan harga berpatutan untuk lembu tenusu . kami miliki ladang seluas 30ekar di Pekan , Pahang . ingin sebarang pertanyaan sila hubungi En.Sapian 0199213369 .
assalamualaikum .. syarikat kami ada membekal dan menjual rumput napier Taiwan dengan harga berpatutan untuk lembu tenusu . kami miliki ladang seluas 30ekar di Pekan , Pahang . ingin sebarang pertanyaan sila hubungi En.Sapian 0199213369 .
Post a Comment