Industri Burung Walet Diperluas Ke Kampung
MARANG, 13 Sept (Bernama)-- Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) akan memperluaskan industri sarang burung walet ke kampung-kampung bagi menggalakkan lebih ramai pengusaha bumiputera menceburi industri itu.
Ketua Pengarah JPV Datuk Abd Aziz Jamaluddin berkata pihaknya percaya industri itu boleh berkembang di kawasan kampung kerana ia mempunyai pelbagai sumber makanan untuk burung itu seperti tanaman dan dusun buah-buahan.
"Kalau boleh kita hendak melihat lebih ramai ramai bumiputera terlibat dalam industri burung walet ini," katanya kepada pemberita selepas meninjau perusahaan burung walet di Kampung Pengkalan Berangan, di sini Ahad.
Abd Aziz berkata pada masa ini terdapat 200,000 pengusaha burung walet di seluruh negara dengan nilai pengeluaran sarang mencecah RM1 bilion setahun.
Beliau berkata daripada jumlah pengusaha itu hanya lapan peratus merupakan pengusaha bumiputra.
Abd Aziz berkata lawatannya ke kawasan perusahaan burung walet di kampung itu bertujuan membuat perbandingan sarang walet konvensional di Pengakalan Berangan dengan sarang yang ada di pantai barat.
"Kalau kita lihat ada potensi, mungkin kita akan perluaskan kaedah konvensional ini ke tempat lain," katanya.
Beliau berkata JVP bersedia memberikan bantuan dari segi pemasaran sarang burung walet bagi mengelak pengusaha dipermainkan orang tengah.
JPV juga akan membina sebuah pusat latihan veterinar di Cermin Kiri Jerangau sebagai pusat sehenti untuk memberi khidmat kaunseling burung walet, katanya.
-- BERNAMA
0 comments:
Post a Comment