Right Bio mahu pasarkan produk ikan keli ke AS, Korea
KUALA LUMPUR 21 Sept. - The Rights Bio Keli Industries Bhd. (Right Bio) kini berusaha mengorak langkah untuk memasarkan produk berasaskan ikan keli ke Amerika Syarikat dan Korea.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohd Amri Salleh Hudin berkata, Right Bio masih dalam proses perbincangan dengan beberapa agen pemasaran di sini dalam membantu memasarkan produk tersebut di sana.
''Bagi pasaran didalam negara, kami telah mengenalpasti beberapa pihak sebagai pengedar produk kami di seluruh negara.
''Buat masa ini, kami bekerjasama dengan pihak Jusco dan Mydin dalam memasarkan produk-produk tersebut di pasar raya mereka,'' katanya ketika dihubungi oleh Utusan Malaysia di sini.
Beliau berkata, penghasilan keli dalam tin adalah hasil kerjasama dengan sebuah syarikat pengetinan yang merupakan anak syarikat kerajaan negeri Terengganu.
Setakat ini, Right Bio mempunyai tiga perasa berlainan bagi keli dalam tin atau sardin keli iaitu, perisa sos tomato, sos tomato pedas dan kari.
''Segala bahan mentah dihantar oleh syarikat dan merupakan produk ternakan syarikat yang terletak di Hulu Langat, Selangor,'' katanya.
Amri menjelaskan, syarikatnya merupakan penternak keli secara organik yang mementingkan kebersihan serta suci bagi menghasilkan keli yang bersih untuk di makan.
Menurutnya, syarikatnya membekalkan sebanyak dua tan ikan sebulan untuk Pasar raya Mydin bagi pasaran di pasar raya tersebut.
''Produk-produk berasaskan keli tersebut akan mula dipasarkan pada bulan Oktober tahun ini di seluruh negara,'' katanya.
Katanya, selain keli hidup, syarikat itu juga memperkenalkan produk makanan berasaskan ikan keli seperti keli dalam tin, serunding keli dan juga makanan sejuk beku.
Amri menjelaskan, serunding ikan keli mula diperkenalkan sejak tahun lalu semasa musim perayaan.
Katanya, pengenalan bagi produk sejuk beku pula merupakan kajian syarikat bagi mempelbagaikan hasil dan produk berasaskan keli.
''Melalui kajian tersebut kami telah dapat menghasilkan beberapa produk seperti bebola ikan, kek ikan dan 'nugget' ikan yang berasaskan ikan tersebut.
''Kepelbagaian produk keli dapat menampung permintaan ikan tersebut dalam pasaran di samping menampung lambakan ikan tersebut,'' tambah beliau
UTUSANusahawantani.com
0 comments:
Post a Comment