Petani rayu cepatkan bantuan banjir
ALOR STAR 25 Dis. - Petani di Kampung Baru, Mukim Derang dekat sini merayu kerajaan mempercepatkan bantuan akibat banjir baru-baru ini bagi meringankan kerugian kemusnahan padi dan jagung.
Seorang petani dari kampung terbabit, Azami Syawal, 42, berkata, dia bukan sahaja mengalami kerugian besar apabila tanaman padi kira-kira enam hektar rosak ditenggelami air tetapi juga tanaman jagung yang diusahakannya secara berkelompok turut terlibat.
“Bagi tanaman padi sahaja, saya rugi RM25,700. Malah kira-kira 32,000 pokok jagung menunggu masa untuk dipetik, musnah ditenggelami banjir dan menyebabkan setengah daripada tanaman musnah sama sekali,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Azami berkata, keadaan itu meresahkan mereka kerana bergantung sepenuhnya kepada tanaman-tanaman berkenaan sebagai sumber pendapatan.
“Sudahlah padi yang baru nak berisi tinggal ‘hampas’ sahaja, jagung pun turut ditenggelami air.
“Selepas banjir ini lain pula jadinya kerana jagung yang tidak ditenggelami air terjejas dengan ancaman daripada tikus,” luahnya dengan nada yang sedih.
Keluhan itu turut dikongsi oleh rakannya, Ibrahim Ariffin, 63, yang berkata, dia terpaksa menanggung kos lain seperti membayar sewa petak, sewa jentera, benih dan baja jika ingin mengusahakan tanaman baru.
“Kami amat harapkan kerajaan menyalurkan bantuan secepat mungkin kerana kami tidak dapat membersihkan kawasan yang musnah teruk kerana kekurangan wang,” ujarnya.
Seorang petani, Khalid Abdullah, 43, yang juga terlibat dengan tanaman kelompok itu berkata, para petani di situ amat mengharapkan bantuan kerana musim persekolahan yang bakal bermula tidak lama lagi.
“Ini kerana kami perlu menyediakan perbelanjaan yang secukupnya untuk persekolahan anak,” katanya.
usahawantani.com
0 comments:
Post a Comment