Pelan Pengeluaran Pertanian Nasional dilulus
BATU PAHAT 18 Jan. – Kabinet telah meluluskan Pelan Pengeluaran Pertanian Nasional (PPPN) bagi memastikan hasil pertanian, ternakan dan agrokultur negara berjaya ditingkatkan dalam tempoh tiga tahun lagi.
Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, berikutan itu, sebuah jawatankuasa khas bagi mengkaji pelaksanaan pelan telah ditubuhkan dan ia dijangka siap dalam tempoh dua hingga tiga minggu lagi.
Beliau berkata, melalui pelaksanaan pelan tersebut, setiap produk pertanian yang diperlukan oleh rakyat akan dapat dikenal pasti.
‘‘Ia selaras dengan arahan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi untuk membantu rakyat mencapai tahap sara diri yang mencukupi daripada segi makanan dan sebagai strategi membendung kenaikan harga barang,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu Projek Pertanian Moden Kluang di Institut Haiwan Kluang di Kluang dekat sini hari ini.
Menurut Muhyiddin, melalui pelan tersebut, kementerian akan menetapkan jenis sayur dan buah-buahan yang perlu diberi keutamaan untuk ditanam antaranya kacang panjang, kobis, bayam dan sawi.
Beliau berkata, kementerian juga akan mencari jalan bagi membantu petani daripada segi kos dan input pertanian terutama harga baja, kos pengangkutan dan tenaga pekerja yang semakin meningkat sejak setahun lalu.
‘‘Pada tahun lepas, harga baja sayur-sayuran meningkat kepada 50 hingga 60 peratus dan tanaman lain meningkat antara 60 hingga 70 peratus.
‘‘Masalah ini mesti diberi perhatian khusus bagi memastikan petani tidak berputus asa dan kecewa untuk meneruskan usaha mereka,” ujarnya.
http://www.utusan.com.my/utusan/arkib.asp?y=2008&dt=0119&pub=utusan_malaysia&sec=muka%5Fhadapan&pg=mh_08.htm&arc=hive
usahawantani.com
0 comments:
Post a Comment